KUALA LUMPUR 12 Jun - Vale, salah satu syarikat perlombongan terkemuka dunia hari ini melancarkan Program Biasiswa Teluk Rubiah (TRSP).
Program yang diilhamkan oleh program-program biasiswa paling berprestij di Malaysia, dirangka untuk memberikan peluang kepada pelajar paling cemerlang di Manjung, Perak meraih pendidikan tinggi bertaraf dunia yang dapat mempersiapkan mereka untuk mengemudi kerjaya global suatu masa kelak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vale Malaysia, Leonardo Paiva, TRSP merupakan salah satu program pembangunan komuniti strategik Vale yang memberikan tumpuan kepada belia sebagai pemangkin pembangunan inklusif dan mampan di Manjung.
Beliau berkata, aset terbesar Manjung terletak pada kebolehan dan potensi belia yang tinggal di daerah itu.
"Untuk program biasiswa ini, kami sedia melabur untuk menyediakan persekitaran kondusif yang menggalakkan kreativiti, pertukaran budaya, dan pembangunan insan secara holistik bagi pelajar-pelajar.
"Harapan kami, biasiswa ini mampu membuka pintu bagi anak-anak muda paling berpotensi di Manjung untuk mendapat pendidikan bertaraf dunia yang boleh mempersiapkan mereka untuk kerjaya dinamik pada masa hadapan dalam industri perlombongan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemegang biasiswa TRSP bakal menerima penajaan penuh dari Vale untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan atau perdagangan di universiti bertaraf antarabangsa yang diiktiraf.
Penajaan tersebut juga meliputi elaun, penginapan berkualiti, sumber pembelajaran, perbelanjaan yang menampung kemungkinan penempatan di luar negara bagi satu semester, dan sokongan relevan lain untuk pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka.
Vale merancang untuk mendaftarkan sehingga 10 pelajar dalam fasa perintis program biasiswa ini yang merangkumi beberapa kemasukan universiti sehingga 2025.
Komposisi pelajar akan mencerminkan kepelbagaian Manjung, sejajar dengan komitmen global Vale untuk menyediakan peluang saksama bagi kaum wanita.
Setelah menamatkan pendidikan tinggi mereka, penerima biasiswa akan dinilai dan dipertimbangkan secara teliti untuk memperoleh peluang pekerjaan di Vale, yang mana mereka boleh memulakan kerjaya global mereka di syarikat tersebut yang beroperasi di hampir 30 buah negara.
Permohonan biasiswa itu, yang dibuka pada pukul 7.30 petang hari ini hingga 5 petang pada 26 Jun 2023, boleh dibuat di laman web rasmi Vale di pautan https://vale.com/w/vale-launches-teluk-rubiah-scholarship-programme. - DagangNews.com







