KUALA LUMPUR 2 Nov - Vale melancarkan pejabat baharu untuk Asia Pasifik di ibu negara bagi menyelia pelbagai fungsi penting yang strategik di rantau ini.
Dengan kewujudan yang semakin dikenali di Asia, Vale merupakan salah satu syarikat perlombongan terkemuka di dunia.
Pengurus Syarikat Vale Malaysia, Leonardo Paiva berkata, pembukaan pejabat serantau di Kuala Lumpur menggariskan kedudukan penting yang Malaysia miliki dalam jejak langkah keseluruhan Vale sebagai syarikat perlombongan global.
Katanya, pejabat itu membolehkan fungsi korporat serantau lebih dekat dengan pusat operasi pihaknya, termasuk Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT) di Manjung, Perak, yang dibina untuk mengendalikan bijih besi sehingga 25 juta tan setahun.
"Ini akan meningkatkan sinergi antara pelbagai pasukan serta meningkatkan kecekapan operasi kami dan membolehkan syarikat mempercepatkan transformasi menjadi penyedia penyelesaian bijih besi berkualiti tinggi di rantau APAC," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Leonardo berkata, keputusan membuka pejabat korporat di Kuala Lumpur adalah sejajar dengan perancangan strategi jangka panjang.
"Ia membolehkan kami mencapai potensi syarikat sepenuhnya di rantau ini, berteraskan matlamat dan komitmen kami kepada masyarakat. Masa depan yang pasti menarik," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli pula berkata, pembukaan pejabat korporat Vale di Kuala Lumpur merupakan satu perkembangan penting bagi bandar ini, yang bercita-cita menjadi antara hab perniagaan paling dinamik di Asia.
"Pejabat APAC Vale yang baharu mencerminkan kedudukan Greater Kuala Lumpur (GKL) sebagai status hab perniagaan serantau dan menggariskan kelayakan pro pelaburan Malaysia di peringkat global," katanya.
Sebagai tuan rumah kepada tiga pengimport bijih besi terbesar di dunia, China, Jepun dan Korea Selatan, APAC adalah pasaran serantau yang penting bagi Vale.
Syarikat itu secara aktif menyokong pelanggan-pelanggan di kawasan tersebut untuk penyahkarbonan, dengan beberapa produk paling inovatif dalam pasaran. - DagangNews.com








