Usahawan Sabah raih hasil jualan lebih RM1.64 juta melalui program bimbingan INSKEN | DagangNews Skip to main content

Usahawan Sabah raih hasil jualan lebih RM1.64 juta melalui program bimbingan INSKEN

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) terus giat membantu usahawan Sabah meningkatkan hasil jualan melebihi RM1.64 Juta melalui Program Bimbingan Keuntungan Menu dan Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC).

 

Seramai 110 usahawan terdiri daripada industri penginapan, vendor kiosk, peruncitan serta usahawan makanan dan minuman dari pelbagai daerah termasuk Tawau dan Semporna berjaya menamatkan sesi bimbingan jangka masa panjang secara 'one-on-one' bersama pakar industri.

 

Pecahan peningkatan hasil jualan RM1.64 Juta terbahagi kepada dua, dengan RM1.5 Juta berjaya dijana 81 usahawan Program IBBC dan RM113,000 dijana 29 usahawan Program Bimbingan Keuntungan Menu.

 

Lebih membanggakan, dua program bimbingan itu berjaya meningkatkan status lima usahawan Sabah daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil.

 

Pencapaian program bimbingan INSKEN juga turut mencatatkan 30 pekerjaan baharu melalui Program IBBC dan 28 peserta mempunyai medium penghantaran makanan baharu melalui Program Bimbingan Keuntungan Menu.

 

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, inisiatif program-program latihan dan bimbingan anjuran INSKEN kepada usahawan mikro dan informal adalah selari dengan beberapa fokus utama yang digariskan untuk direalisasi menerusi Belanjawan 2024 bagi menjamin kelangsungan perniagaan dan seterusnya mewujudkan negara keusahawanan unggul.

 

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pendekatan bimbingan daripada usahawan kepada usahawan yang diterapkan dalam program bimbingan INSKEN ternyata berhasil. 

 

 

insken
Datuk Ewon Benedick

 

 

"Tambahan pula, usahawan akan dibimbing memperbaiki setiap komponen keusahawanan yang diperlukan termasuk pengurusan perniagaan, pemasaran, pengiraan kos dan kewangan selain berpeluang mempelajari tips berguna dan amalan terbaik yang boleh dipraktiskan daripada bimbingan pakar industri," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pemilik kedai runcit Putaton Tindama yang terletak di Penampang, Emily Bozou dinobatkan sebagai peserta terbaik bagi Program IBBC Grocery Store dengan peningkatan jualan sebanyak 91%. 

 

 

insken

 

 

Faktor yang mempengaruhi peningkatan hasil jualan adalah melalui komponen latihan teknikal perniagaan 'Membina SOP untuk Perniagaan Peruncitan Kecil' yang diterima dalam tempoh empat bulan program berlangsung. 

 

Usahawan tersebut berjaya mengaplikasi tips penyusunan barangan secara strategik, teratur dan mengikut kehendak pelanggan. ]

 

Selain itu, dia turut berjaya memperbaiki pengurusan kewangan serta meluaskan jaringan pembekal barangan hasil daripada bimbingan daripada pakar industri.

 

Kejayaan program bimbingan INSKEN Edisi Sabah 2023 merupakan hasil kerjasama strategik bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya. - DagangNews.com