Usahawan disaran bina daya tahan harungi cabaran ekonomi - Ismail Sabri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Usahawan disaran bina daya tahan harungi cabaran ekonomi - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama para penerima anugerah pada Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022 di ibu negara pada 25 Julai 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - Para usahawan disaran supaya membina daya tahan untuk mengharungi cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, pemimpin harus kuat bagi memastikan organisasi mereka kalis cabaran.

 

Namun katanya, acuan kepemimpinan dalam sesebuah organisasi, sama ada syarikat kecil mahupun gergasi itu adalah mustahak dalam menentukan hala tuju syarikat. 

 

"Kebanyakan syarikat yang berjaya mempunyai pemimpin yang bersifat kritis dan kental dalam mendepani cabaran perniagaan kini yang semakin dinamik. 

 

"Kita semua tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin yang hebat tetapi saya yakin pengalaman pahit manis dalam membangunkan perniagaan itu menjadi titik tolak kepada apa yang anda semua telah capai hari ini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022, di sini.

 

Menurut Ismail Sabri, landskap perniagaan selepas pasca pandemik COVID-19 sudah mula berubah, yang mana dahulunya perniagaan ‘brick and mortar’ menjadi syarat utama jika mahu mulakan perniagaan kerana usahawan memerlukan premis untuk menjalankan proses jual beli atau penawaran perkhidmatan. 

 

"Namun, pandemik COVID-19 telah menyaksikan perubahan perniagaan secara konvensional kepada perniagaan secara dalam talian. 

 

 

ismailsabri
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022 di ibu negara pada 25 Julai 2023.

 

 

"Dalam dunia kehidupan pasca pandemik ini, saya yakin tiada produk atau perkhidmatan yang tidak boleh dibeli daripada internet," katanya.

 

Beliau berkata, berdasarkan Laporan Barometer e-Dagang Asia Tenggara (SEA), jumlah pembeli secara dalam talian di Asia Tenggara dijangka terus meningkat kepada kira-kira 380 juta orang menjelang 2026. 

 

Katanya, arus teknologi dunia semakin berkembang setiap hari, selain China merupakan pelopor kepada inovasi sains dan teknologi global serta industri perniagaan di sana sudah semakin ke hadapan. 

 

 

ismailsabri

 

 

"Sebagai contoh, ketika saya mengadakan lawatan ke Shenzhen, China pada Jun lalu, saya dimaklumkan industri e-hailing di sana sudah menggunakan dron untuk menghantar makanan kepada pembeli. 

 

"Ini merupakan contoh kemajuan teknologi dalam perniagaan yang akan merevolusikan sistem jual beli pada masa akan datang," ujar beliau.

 

Beliau berkata, ketika menerajui tampuk pentadbiran kerajaan, pelbagai pelan dan inisiatif telah dilancarkan untuk membantu industri perusahaan tempatan terus diperkasa. 

 

 

ismailsabri

 

 

"Antaranya, pada April tahun lalu, saya telah melancarkan Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030 - disebut ‘semai 2030’) yang menyediakan hala tuju nasional yang baharu kepada pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia," katanya.

 

Katanya, keusahawanan sosial berperanan meningkatkan tahap kehidupan pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang terpinggir dan sering tercicir daripada arus pembangunan dan program bantuan kerajaan.

 

 

ismailsabri

 

 

"Ia juga menyediakan penyelesaian sistematik dan inovatif kepada cabaran sosial dan alam sekitar yang mendesak. Masa untuk kembali menyumbang kepada masyarakat," katanya.

 

Tambahnya, persekitaran ekonomi dunia pada tahun ini masih mencabar meskipun kebanyakan negara sedang melalui fasa pemulihan dan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada dunia perniagaan global dan juga tempatan. - DagangNews.com