UPM, SEARCA kembangkan industri halal bersama Filipina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM, SEARCA kembangkan industri halal bersama Filipina

Seramai 30 peserta dari Filipina menyertai bengkel International Research Knowledge on Halal Industry Program di Putrajaya, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Sept - Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Serantau Asia Tenggara untuk Pengajian Siswazah dan Penyelidikan Pertanian (SEARCA) mengembangkan industri halal bersama pemain industri Filipina menerusi penganjuran ‘International Research Knowledge on Halal Industry Program’ selama 11 hari di Putrajaya.

 

Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) UPM, Prof Dr Awis Qurni Sazili berkata, bengkel ini membuka peluang potensi industri halal khasnya kepada pengamal, penggubal dasar dan pihak berkepentingan di Filipina. 

 

"Apabila selesai program ini, para peserta akan kembali semula ke Filipina dan menyebarkan ilmu serta pengetahuan halal ini di negara mereka. Ini akan mencetuskan lebih banyak kerjasama antara UPM dan Filipina khasnya dalam mengembangkan sektor halal dunia. 

 

"Sektor halal di Filipina kini sedang membangun terutamanya di selatan negara tersebut kerana kebanyakan penduduk di situ beragama Islam. Jadi kesedaran di sini sudah ada dan dalam masa terdekat, pengetahuan halal ini akan dikembangkan di daerah lain di sana," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Katanya, menerusi bengkel ini, beberapa isu halal yang besar akan dibincangkan antaranya standard halal dan prosedurnya, pensijilan halal dan Sistem Jaminan Halal (HAS), sistem kewangan muamalat dan pelancongan.

 

 

UPM
Prof Dr Awis Qurni Sazili

 

 

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof Dr Hang Tuah Baharudin berkata, kerjasama UPM-IPPH ini menerokai bidang pengetahuan antarabangsa mengenai program halal bahkan membuka jalan bagi pertumbungan sektor halal. 

 

Seorang peserta, Normina Abubakar, 26, yang merupakan guru di Mindanao State University, Tawi-Tawi, Filipina berkata, dia berharap untuk mendapatkan input berkenaan pensijilan halal khususnya untuk dimanfaatkan kepada masyarakat Islam.

 

"Saya ingin membangunkan industri halal di Filipina agar lebih banyak pelancong boleh datang serta merasai keunikan makanan kami tanpa ragu terutamanya kepada pelancong beragama Islam," katanya. - DagangNews.com