UPM rangkul 9 pingat emas, anugerah cemerlang MTE SDG 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UPM rangkul 9 pingat emas, anugerah cemerlang MTE SDG 2023

Gambar Facebook Putra Science Park UPM
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mempamerkan kecemerlangan dalam inovasi dan penyelidikan apabila berjaya merangkul sembilan pingat emas, anugerah kecemerlangan, dua pingat perak dan satu gangsa di Malaysia Technology Expo - Sustainable Development Goals (MTE SDG) 2023.

 

MTE SDG 2023 telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang berlangsung pada 18 hingga 20 Oktober lalu secara dalam talian adalah pameran reka cipta dan inovasi berprestij antarabangsa yang turut menyediakan platform serta pasaran bagi inovasi terkini di peringkat global.

 

Timbalan Pengarah Putra Science Park (PSP) UPM, Prof Madya Dr.Wan Nurhayati Wan Ab Rahman berkata, melalui platform ini, para pereka cipta inovasi dapat mempamerkan hasil inovasi, idea dan inisiatif kepada pakar industri, penggubal dasar, pelabur dan rakan inovator di peringkat antarabangsa selain mencari peluang pengkomersilan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

 

"Penerimaan anugerah dan pengiktirafan oleh para penyelidik UPM akan terus menjadi pembakar semangat untuk meningkatkan usaha pembangunan teknologi dan inovasi yang lebih cemerlang bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh industri, rakyat dan negara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ketua Seksyen Promosi dan Pemasaran Inovasi PSP UPM, Asrizam Esam berkata, pihak universiti sangat komited dalam menghasilkan dan mengkomersilkan inovasi yang dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara.

 

Katanya, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama daripada rakan industri bagi membawa hasil penyelidikan ke pasaran supaya manfaatnya dapat dikongsi dengan semua pihak yang disasarkan. 

 

"Sehingga kini sebanyak 230 harta intelek yang telah berjaya dikomersialkan bersama rakan industri di dalam pelbagai sektor industri meliputi pertanian, alam sekitar dan sumber semula jadi, pertumbuhan ekonomi dan modal insan," katanya.

 

 

upm

 

 

Dalam pada itu, sembilan pingat emas yang diraih merupakan hasil dari komitmen dan dedikasi yang tinggi barisan penyelidik dalam membangunkan inovasi terbaik iaitu teknologi PUTRA UAV 2.0 (PUTRA Unmanned Aerial Vehicle 2.0) oleh Prof Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan dari Fakulti Kejuruteraan dan NET-PEAT: Estimation of Ground Water Level (GWL) for Tropical Peatland Forest Using Machine Learning oleh Prof Dr Aduwati Sali dari Fakulti Kejuruteraan.

 

Selain itu, Ultra Low Speed Wind Turbine for Onshore Rural Area Usage oleh Prof Dr Kamarul Arifin Ahmad dari Fakulti Kejuruteraan; Putra Amazing Agar oleh Prof Dr Syafinaz Amin Nordin dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; Malaysian Natural Nutraceuticals for Arthritis Relief oleh Prof Madya Dr Maimunah Sanny dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan dan Stabilized Electric Unicycle (Flexi-UC) oleh Dr Muhammad Azim Azizi dari Fakulti Kejuruteraan.

 

Turut meraih pingat emas menerusi, Try-Gonna Bee Apps: Ensuring Food Security through App-Guided Urban Beekeeping oleh Dr Noris Mohd Norowi dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat; Malaysian Mahseer Hybrid (Tor tambroides X Barbonymus gonionotus) oleh Dr Fadhil Syukri dari Fakulti Pertanian dan Standardized Paederia foetida oleh Dr Nur Kartinee Kassim dari Fakulti Pertanian.

 

Pingat perak dirangkul oleh Prof Dr.Rosnah Shamsudin dan Prof Madya Dr Mohd Zairul Mohd Noor manakala Prof Dr Zuriati Ahmad Zukarnain meraih pingat gangsa.

 

Selain itu, Anugerah Khas Kecemerlangan turut disandang oleh Prof Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan melalui teknologi PUTRA UAV 2.0 iaitu inovasi gentian dron menggunakan serat daun nanas sebagai bahan utama yang menawarkan alternatif yang mampan dan mesra alam termasuk nisbah kekuatan terhadap berat yang tinggi serta integriti struktur standing dengan dengan bahan sintetik. - DagangNews.com