KUALA LUMPUR 13 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas melaksanakan aktiviti sukarelawan selama 40 jam tanpa henti menerusi 41 projek Program Putra Longest Non Stop Volunteerism Activities (PUTRA LoVA) sempena Sambutan Hari Putra Bakti UPM.
PUTRA LoVA anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM merupakan rekod pertama dalam negara melaksanakan aktiviti tersebut bermula pukul 6 pagi pada 10 Disember dan berakhir 10 malam, 11 Disember 2022.
Aktiviti tersebut membabitkan lebih 2,000 sukarelawan terdiri daripada staf, pelajar dan komuniti setempat.
Antara projek kesukarelawanan yang dilaksanakan, membersihkan Sungai Klang, menyantuni golongan Orang Kurang Upaya, mengagihkan makanan kepada petugas barisan hadapan serta aktiviti gotong-royong di beberapa lokasi terpilih.
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menerapkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga UPM dan masyarakat Malaysia, selain menggalakkan pelajar UPM terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan bersama komuniti.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Dr Arifin Abdu berkata, aktiviti ini dilaksanakan bagi mencapai Matlamat 1 Pelan Strategik UPM 2021-2025, iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang selain memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.


Beliau berkata, program diadakan sempena sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut pada 5 Disember setiap tahun sebagai pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak tahun 1985.


"PUTRA LoVA telah membuka laluan kepada pelajar UPM untuk mengasah kemahiran insaniah melalui sumbangan signifikan kepada masyarakat berpaksikan motto UPM 'Berilmu Berbakti'," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com








