UOB Malaysia berjaya tetap harga nota jangka sederhana Islam bernilai RM300 juta untuk EXSIM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UOB Malaysia berjaya tetap harga nota jangka sederhana Islam bernilai RM300 juta untuk EXSIM

KUALA LUMPUR 31 Mac - United Overseas Bank (M) Berhad (UOB Malaysia) berjaya menetapkan harga dan menempatkan terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bagi tempoh empat tahun berjumlah RM300 juta pada kadar keuntungan tetap 5.1% setahun.

 

Terbitan ini merupakan tranche ketiga Program Sukuk Musharakah (Program Sukuk) EXSIM bernilai RM2 bilion yang mengewangkan pendapatan masa depan pembangunan kediaman hijau pemaju hartanah ini di Lembah Klang.

 

'’Memandangkan pasaran hartanah Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang lebih kukuh pada suku pertama 2022, terbitan IMTN diterima dengan baik oleh pelabur institusi berkualiti, termasuk syarikat insurans, syarikat pengurusan aset, bank dan bank swasta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, sokongannya kepada EXSIM adalah sebahagian daripada penyelesaian pembiayaan yang disediakan di bawah Rangka Kerja Kewangan Mampan UOB untuk Pemaju dan Pemilik Bangunan Hijau dan juga Rangka Kerja Kewangan Mampan Bandar Pintar UOB.

 

Kedua-dua rangka kerja ini dibangunkan untuk membantu lebih banyak syarikat Asia memajukan perniagaan secara bertanggungjawab, sambil mengurangkan jejak karbon mereka, katanya.

 

Program Sukuk ini yang ditubuhkan pada 2019, telah distrukturkan oleh NewParadigm Capital Markets  Sdn. Bhd. melalui syarikat tujuan khas, EXSIM Capital Resources Berhad.

 

Di bawah program ini, terbitan IMTN itu juga disokong oleh Kertas Komersial Islam berjumlah RM75 juta, ditaja jamin sepenuhnya oleh UOB Malaysia bagi memenuhi keperluan kecairan IMTN.

 

Di samping itu, UOB Malaysia berjaya menetapkan harga dan menempatkan terbitan IMTN kedua EXSIM di bawah program sukuk  pada Jun 2021 untuk mengewangkan pendapatan masa depan syarikat bagi dua lagi pembangunan kediaman mampan di Lembah Klang, lapor Bernama.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan EXSIM, Lim Aik Hoe berkata terbitan IMTN itu akan dijamin dan disokong oleh perjanjian jual beli yang dilaksanakan untuk projek D’Erica Residences oleh EXSIM.

 

Beliau berkata, piawaian dan proses pensijilan GreenRE adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan juga komitmen Majlis Bangunan Hijau Dunia ke arah membangunkan bangunan yang menghasilkan tenaga yang sama daripada yang digunakan atau yang bertujuan mencapai masa depan sifar karbon. - DagangNews.com