Untung bersih T7 Global melonjak 2 kali ganda kepada RM6.4 juta dalam 2QFY23 didorong pendapatan segmen tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

 Untung bersih T7 Global melonjak 2 kali ganda kepada RM6.4 juta dalam 2QFY23 didorong pendapatan segmen tenaga

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Keuntungan bersih T7 Global Bhd melonjak lebih dua kali ganda kepada RM6.4 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) daripada RM2.65 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan kumpulan pada suku berakhir 30 Jun 2023 itu juga meningkat 96% kepada RM104 juta berbanding RM52.96 juta, manakala pendapatan sesaham naik kepada 0.82 sen daripada 0.37 sen.

 

Secara kumulatif, keuntungan bersih dan pendapatan T7 Global pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) masing-masing meningkat 98.7% dan 72% kepada RM10.67 juta dan RM198 juta.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat pembekal rumusan tenaga itu berkata keputusan yang menggalakkan tersebut terutamanya didorong oleh pengiktirafan pendapatan yang lebih tinggi di bawah segmen tenaga daripada perkhidmatan telaga bersepadu, operasi dan penyelenggaraan, serta produk pakar dan segmen teknologi.

 

Bersama dengan kecekapan operasi yang lebih baik, katanya, faktor ini membolehkan T7 Global memperoleh peningkatan margin.

 

Ketua Pegawai Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata bahagian tenaga kekal teguh dalam melaksanakan kontrak dimilikinya.

 

 

Tan Kay Zhuin
Tan Kay Zhuin

 

 

“Dengan memanfaatkan bahagian tenaga, kami turut menjangkakan sumbangan daripada program penggantian aset sistem pengendalian bagasi (BHS) untuk Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa KL tahun ini.

 

“Oleh itu, kami kekal optimistik prospek kekal utuh, disokong oleh buku pesanan RM2.4 bilion yang dijangka diiktiraf dalam tempoh 10 tahun akan datang,” tambahnya.

 

Pada waktu penulisan, saham T7 Global menokok 0.5 sen atau 1% kepada 48.5 sen, menilai permodalan pasarannya pada RM368.1 juta. Setakat ini, saham T7 Global telah mencatat kenaikan sebanyak 47% tahun ini. - DagangNews.com