Untung bersih SNS Network melonjak 40.5% bagi 4QFY23 didorong jualan produk ICT | DagangNews Skip to main content

Untung bersih SNS Network melonjak 40.5% bagi 4QFY23 didorong jualan produk ICT

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac – Keuntungan bersih SNS Network Technology Berhad (SNS Network) bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (4QFY23) melonjak 40.5% kepada RM16.77 juta berbanding RM11.94 juta pada suku sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan penyedia produk, perkhidmatan dan penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu turut meningkat sebanyak 46.2% kepada RM509.86 juta berbanding RM348.84 juta pada suku sebelumnya.

 

Menurut laporan kewangan di Bursa Malaysia, peningkatan pada suku 4QFY23 didorong oleh jualan produk ICT berikutan pesanan yang banyak dari saluran komersialnya.

 

Sementara itu, kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM43.72 juta bagi tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Tiada angka perbandingan bagi asas tahun ke tahun kerana SNS mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2 September 2022.

 

Pengarah Urusan SNS Network, Ko Yun Hung berkata saluran komersial perniagaan kekal merupakan pemacu pertumbuhan yang memberangsangkan dalam pendapatan dan keuntungan berikutan permintaan merentasi industri daripada sektor kerajaan dan swasta.

 

 

Ko Yun Hung
Ko Yun Hung

 

 

“Baru-baru ini kami memenangi tender daripada Kementerian Pendidikan bernilai RM41.33 juta melalui penawaran ‘Device-as-a-Service’ (DaaS) untuk menangani jurang pembelajaran melalui peningkatan peranti dan teknologi pelajar dan guru,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, model perniagaan DaaS membolehkan kumpulan mengekalkan pelanggan dengan kemungkinan pembaharuan perkhidmatan yang lebih tinggi dan menjana pendapatan berulang sehingga lima tahun.

 

Menurut beliau, SNS Network menjangkakan permintaan semakin meningkat untuk projek transformasi digital, di mana kepakaran dan rekod prestasi terbukti akan memastikan kumpulan berada pada kedudukan yang baik bagi mendapatkan lebih banyak projek dalam beberapa bulan akan datang.

 

“Memandangkan perniagaan dan organisasi terus menerima pendigitalan, kami kekal komited untuk menyampaikan penyelesaian inovatif memenuhi keperluan dan membantu mereka kekal di hadapan dalam landskap yang semakin kompetitif,” tambahnya.

 

Kumpulan itu juga telah mengumumkan dividen interim kedua peringkat pertama sebanyak 0.25 sen sesaham untuk pembelian saham sebelum 10 Mei dan akan dibayar pada 26 Mei 2023. -DagangNews.com