KUALA LUMPUR 19 Jun - PPB Group Berhad dijangka mendapat manfaat daripada dolar Amerika Syarikat (AS$) yang kukuh memandangkan bahagian pendapatannya dalam anak syarikatnya, Wilmar International ditukar kepada ringgit daripada dolar, kata AmInvest Research.
Firma penyelidikan itu menganggarkan bahawa kenaikan 10 sen dalam kadar pertukaran AS$ akan meningkatkan keuntungan bersih PPB sebanyak 2% dengan mengandaikan purata kadar pertukaran AS$1.00: RM4.45 untuk tahun kewangan 2023 (FY23), di mana Wilmar menyumbang lebih daripada 80% daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan itu.
“Kami percaya bahagian bijirin dan perniagaan tani akan menunjukkan prestasi baik pada FY23 selepas terjejas oleh kos gandum yang tinggi pada FY22. Menurut Bloomberg sejak awal tahun, harga gandum musim sejuk kini telah menurun sebanyak 13% kepada AS$6.88 setiap gantang,” katanya dalam nota hari ini.
Berbeza dengan minyak sawit, firma itu berkata El Nino tidak akan memberi kesan yang ketara ke atas pengeluaran gandum justeru bekalan yang lebih tinggi (kecuali keadaan cuaca yang tidak menguntungkan) di Rusia, Kanada dan Australia mungkin memberi tekanan pada harga dalam separuh kedua tahun ini.
Menurut firma itu, risiko adalah perjanjian Koridor Eksport Bijirin Laut Hitam yang akan tamat tempoh pada penghujung Julai 2023 tidak diperbaharui.
“Kami meramalkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM144 juta untuk bahagian tersebut pada FY23 berbanding RM100,000 pada FY22, iaitu dalam paras prapandemik RM110 juta hingga RM162 juta setahun dari FY17 hingga FY19. Secara kebetulan, operasi tepung PPB di Malaysia tidak lagi menghadapi kekurangan tenaga buruh,” tambahnya.
Di samping itu, AmInvest turut menjangkakan pendapatan bahagian tayangan dan pengedaran filem akan meningkat pada suku-suku mendatang selepas mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM25,000 pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) akibat peningkatan kos gaji dan kekurangan filem blokbuster.
Pelancaran filem blockbuster musim panas dan filem tempatan dalam 3QFY23 dijangka meningkatkan naungan pawagam dan hasil pendapatan, di mana firma itu menganggarkan keuntungan sebelum cukai RM62 juta untuk unit tayangan dan pengedaran filem pada FY23 berbanding kerugian RM17 juta pada FY22.
“Kami juga meramalkan keuntungan sebelum cukai bahagian produk pengguna lebih rendah sebanyak RM23 juta pada FY23 berbanding RM36 juta pada FY22.
“Walaupun terdapat risiko bahawa perbelanjaan pengguna mungkin terjejas oleh kadar faedah yang lebih tinggi di Malaysia, kami percaya bahawa permintaan untuk produk ruji seperti roti akan kekal berdaya tahan,” tambahnya.
Oleh itu, firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) tidak berubah sebanyak RM19.40 sesaham.
Pada 12:00 tengahari ini, saham PPB Group didagangkan pada RM15.96, susut 4 sen atau 0.3% menilai modal pasarannya sebanyak RM22.7 bilion. -DagangNews.com








