Untung bersih MyEG meningkat kepada RM106 juta pada suku pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MyEG meningkat kepada RM106 juta pada suku pertama

KUALA LUMPUR 31 Mei - Keuntungan bersih MyEG Services Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (S1 TK2023) meningkat kepada RM105.94 juta daripada RM84.63 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, hasilnya meningkat 7.08% kepada RM173.22 juta berbanding RM161.77 juta pada S1 TK2022.

 

"Peningkatan sebanyak RM21.31 juta dalam keuntungan bersih terutamanya disebabkan oleh keseluruhan hasil yang meningkat daripada perkhidmatan sedia ada kami dengan margin lebih tinggi yang mengimbangi pemberhentian sumbangan hasil daripada perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin," katanya.

 

Prestasi yang lebih baik itu turut dirangsang oleh pengiktirafan sekali sahaja bagi keuntungan nilai saksama dalam pelaburan hasil daripada penyenaraian pelaburannya dalam Agmo Holdings Bhd dan sumbangan daripada perkhidmatan yang baru dilancarkan daripada platform blockchain Zetrix.

 

Syarikat itu berkata sumbangan daripada penjualan token Zetrix dan perkhidmatan pemadanan pekerjaan bagi pekerja asing yang meningkat berikutan penarikan semula pembekuan pengambilan pekerja asing juga memberi impak positif kepada pendapatannya.

 

Melangkah ke hadapan, syarikat itu optimistik dengan berhati-hati bahawa prospek jangka panjang untuk MyEG kekal positif kerana ia terus memperkenalkan perkhidmatan yang berinovatif di Malaysia dan di peringkat global.

 

MyEG menjangkakan untuk terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif dengan memanfaatkan teknologi baharu, khususnya blockchain atau Web 3.0, di Malaysia dan juga di peringkat global, dalam memacu pertumbuhan organiknya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (TK2023), lapor Bernama.

 

"Dengan platform blockchain Lapisan-1 iaitu Zetrix dalam talian, terdapat potensi besar untuk MyEG mengkomersialkan perkhidmatan inovatif apabila Web 3.0 mula diterima pakai secara meluas.

 

"Tambahan pula Zetrix juga telah disepadukan dengan platform blockchain nasional China, iaitu "Xing Huo" yang akan membolehkan berlakunya kemudahan perdagangan rentas sempadan dan kumpulan boleh meneroka ke pasaran global," katanya. - DagangNews.com