KUALA LUMPUR 31 Jan - Keuntungan bersih Kotra Industries Bhd dijangka merosot pada tahun kewangan 2024 (FY24) sebelum melantun semula pada FY25 dan FY26, kata CGS-CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran keuntungan bersih teras syarikat farmaseutikal itu bagi FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 15.7% dan 19.2% disebabkan pertumbuhan pendapatan tempatan perlahan, dengan jualan makanan tambahan di kaunter kembali ke tahap sebelum COVID-19.
Firma itu menganggarkan jualan makanan tambahan pada FY24 hingga FY26 masing-masing hanya meningkat 1%, 3% dan 5%.
Ia menjangkakan pendapatan produk farmaseutikal tempatan meningkat 3% setiap tahun pada FY24-26, disokong peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan swasta (kadar pertumbuhan tahunan kompaun [CAGR] tiga tahun sebanyak 6% pada 2016-19).
“Dari segi eksport, pengurusan Kotra Industries menyatakan hasratnya untuk memberi tumpuan kepada pasaran eksport sedia ada, khususnya Indonesia, Myanmar, Vietnam, Kemboja dan Afrika.
“Kami berpendapat bahawa kapasiti pembuatannya membolehkan kumpulan itu mengambil bahagian dalam bidaan tender luar negara untuk membekalkan produk farmaseutikal kepada sektor awam, yang boleh menyebabkan hasil eksport meningkat 6% hingga 8% pada FY24-26,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, CGS-CIMB berkata pulangan atas ekuiti (ROE) jangka panjang kumpulan itu menjadi stabil pada kira-kira 18% dalam FY24-26 disokong oleh peningkatan skala ekonomi.
Hal ini kerana kumpulan tersebut telah memperuntukkan perbelanjaan modal sehingga RM160 juta sejak FY23 untuk pembinaan kemudahan pergudangan automatik baharu dan penubuhan tiga barisan pembuatan baharu yang disasarkan siap menjelang akhir tahun ini.
“Memandangkan kedudukan tunai bersih dan penjanaan aliran tunai bebas (FCF) kukuh sebanyak RM22 juta hingga RM69 juta dalam FY24-26, kami percaya bahawa Kotra Industries sepatutnya dapat mengekalkan nisbah pembayaran dividen 50% antara FY24 dan FY26,” tambahnya.
CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM5.19 sesaham berbanding RM5.74 sebelum ini.
Pada pukul 12:08 tengah hari ini, saham Kotra Industries kekal pada RM4.80 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM711.9 juta. - DagangNews.com







