KUALA LUMPUR 20 April - KIP Real Estate Investment Trust (REIT) telah mencatatkan keuntungan bersih sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (9MFY23) yang mencakupi 70% daripada ramalan setahun penuh TA Securities.
TA Securities berkata peningkatan keuntungan bersih sebanyak 10.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM29.2 juta, tidak termasuk perbelanjaan sampingan untuk sekali sahaja bagi pengambilalihan tiga hartanah perindustrian sebanyak RM1.8 juta.
Sementara itu, pengagihan seunit (DPU) suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) REIT itu berada pada 1.55sen seunit, menjadikan DPU 9MFY23 kepada 4.45sen seunit atau susut 5.3% YoY.
“Penurunan dalam DPU 9MFY23 adalah disebabkan oleh kenaikan 13% dalam unit terkumpul selepas tiga peringkat penempatan persendirian disiapkan dalam tempoh yang ditinjau. Namun begitu, ia berada dalam jangkaan, menyumbang 72% daripada unjuran DPU FY23 tahun penuh kami sebanyak 6.2sen,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Selain peningkatan untung bersih 9MFY23, pendapatan KIP REIT turut meningkat 12.6% didorong oleh asas yang rendah pada tahun kewangan 2022 (FY22) disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan penuh (FMCO) dan pendapatan pajakan daripada tiga hartanah perindustrian baru diambil alih di Klang, yang mana pengambilalihan telah berakhir pada 14 Disember 2022).
“Bagaimanapun, perbelanjaan hartanah yang lebih tinggi seperti utiliti, kos pembayaran balik dan penyelenggaraan bangunan menyebabkan margin pendapatan harta bersih (NPI) pada 9MFY23 menguncup sebanyak 3.3% mata kepada 74.8%,” tambahnya.
Bagi keputusan kewangan suku ke suku pula, KIP REIT telah merealisasikan peningkatan keuntungan bersih 3QFY23 sebanyak 6% kepada RM10.5 juta didorong oleh pertumbuhan 8% dalam pendapatan hartanah bersih.
Sumbangan suku penuh daripada tiga hartanah perindustrian yang baru diambil alih memacu peningkatan dalam keputusan berurutan.
Mengulas berkenaan prospek, firma itu berkata pengurusan optimistik terhadap prestasi REIT tersebut pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), disokong pertumbuhan segmen runcit dan portfolio komuniti sedia ada, yang terutamanya memenuhi keperluan penting.
Menurut firma itu, KIP REIT juga sedang meneroka secara proaktif peluang untuk pengambilalihan dalam kedua-dua sektor runcit dan perindustrian.
“Pihak pengurusan optimis terhadap keupayaan REIT itu untuk mengembangkan asas aset perindustriannya dan mendapatkan penyewaan jangka panjang dengan pulangan yang stabil, kerana ia percaya sektor perindustrian akan terus mempamerkan prestasi yang teguh,” kata firma itu.
Oleh itu, TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan dan mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.05 sesaham, berdasarkan hasil sasaran 2024 sebanyak 6.75%. -DagangNews.com








