KUALA LUMPUR 19 Mei - Untung bersih Kelington Group Berhad melonjak 95% kepada RM16.2 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM8.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Kumpulan itu berkata, pertumbuhan bahagian bawah disokong oleh peningkatan 78% dalam hasil kepada RM308.9 juta, berbanding RM173.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Katanya, pertumbuhan dalam prestasi bahagian atas dan bawah adalah disebabkan oleh pertumbuhan dua angka yang ketara dalam sumbangan hasil merentas semua pasaran operasi.
Hasil daripada Malaysia yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah hasil pada suku pertama tahun ini meningkat 83% kepada RM 142.5 juta manakala hasil dari Singapura dan China masing-masing meningkat 67% dan 69% dari tahun ke tahun.
"Bahagian Ketulenan Ultra Tinggi (UHP) terus menjadi penyumbang utama sebanyak 59% daripada jumlah hasil keseluruhan kumpulan pada suku pertama.
"Hasil daripada bahagian UHP meningkat sebanyak 62% kepada RM182 juta, didorong oleh peningkatan sumbangan daripada Singapura, China dan Malaysia.
"Sementara itu, hasil daripada segmen Kejuruteraan Proses mengalami lonjakan besar sebanyak 199% YoY kepada RM35.7 juta, terutamanya disebabkan oleh sumbangan daripada pekerjaan kejuruteraan proses di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumpulan itu berkata, segmen Gas Perindustrian mengekalkan prestasi kukuh pada suku berkenaan dengan hasil meningkat dua kali ganda kepada RM24.1 juta daripada RM9.9 juta pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Raymond Gan berkata, pihaknya berbesar hati dengan prestasi kumpulan merentasi pelbagai bahagian perniagaan, mewujudkan asas yang kukuh untuk tahun ini.
"Melangkah ke hadapan, kami mengekalkan pandangan yang positif dan mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan kami untuk melaksanakan dan memenuhi komitmen kami.
"Perlu diingat bahawa kumpulan sedang mengalami kadar penambahan buku pesanan yang sihat merentas semua segmen," katanya.
Prospek segmen industri gas terus memberikan gambaran positif, didorong oleh peningkatan permintaan untuk karbon dioksida cecair (LCO2) selaras dengan pemulihan aktiviti ekonomi.
Cadangan pelaburan dalam loji LCO2 kedua di Kerteh akan membawa kepada kapasiti pengeluaran yang melebihi dua kali ganda paras semasa. - DagangNews.com








