Untung bersih KAB meningkat empat kali ganda kepada RM2.43 juta pada 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih KAB meningkat empat kali ganda kepada RM2.43 juta pada 1QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB), yang akan dinamakan sebagai Kinergy Advancement Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.43 juta atau kenaikan empat kali ganda bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23)berbanding RM590,000 setahun lalu.

 

Ia ada hasil sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen penyelesaian tenaga mampan (SES).

 

Peningkatan keuntungan itu berlaku walaupun pendapatan lebih rendah sebanyak RM42.76 juta berbanding RM52.98 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu mempunyai dua segmen perniagaan utama, iaitu SES dan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E).

 

Hasil segmen SES meningkat 38.6% kepada RM5.56 juta pada 1QFY2023 berbanding RM4.01 juta pada 1QFY2022, yang meningkatkan keuntungan segmen lebih tujuh kali ganda kepada RM2.68 juta daripada hanya RM304,000 sebelum ini.

 

Kumpulan itu mengaitkan prestasi segmen yang lebih baik dengan peningkatan prestasi aset SES dan tarif yang lebih tinggi.

 

Segmen M&E kumpulan pula menyaksikan hasil turun 23.7% kepada RM37.37 juta daripada RM48.96 juta, tetapi keuntungan segmen meningkat 14.4% kepada RM1.69 juta daripada RM1.47 juta.

 

Kumpulan itu berkata, margin keuntungan industri masih terjejas oleh kenaikan harga tembaga dan bijih besi.

 

Pengarah Urusan kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, peningkatan dalam keuntungan bersih kumpulan itu adalah bukti keputusan tepat lembaga pengarah dalam beralih ke segmen SES.

 

“Usaha kami dalam perjalanan ke segmen SES telah membuahkan hasil dan kami bersedia untuk mempercepatkan lagi pengembangan kami dan meraih lebih banyak peluang dalam industri yang berkembang pesat ini. 

 

"Keputusan suku tahunan yang penting ini menggambarkan potensi besar yang menanti, dan kami optimis secara positif terhadap prospek tahun akan datang, sejajar dengan pengambilalihan berterusan kami yang dijangka siap menjelang tahun ini,” katanya.

 

Kumpulan itu juga berkata pemegang sahamnya telah meluluskan resolusi khas untuk menamakan semula Kejuruteraan Asastera Berhad kepada Kinergy Advancement Bhd pada mesyuarat agung tahunan yang diadakan secara maya semalam. - DagangNews.com