Untung bersih Hektar REIT merosot 33% kepada RM9.2 juta bagi 1QFY23 akibat peningkatan kos operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Hektar REIT merosot 33% kepada RM9.2 juta bagi 1QFY23 akibat peningkatan kos operasi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) telah merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM9.2 juta, merosot 33% pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) daripada RM12.7 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat pada suku ini menurun sedikit 0.59% kepada RM28.9 juta berbanding RM29.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22).

 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu menyatakan bahawa pendapatan harta tanah bersih (NPI) bagi suku dalam tinjauan menurun 8.5% kepada RM15.2 juta disebabkan kos utiliti yang lebih tinggi didorong oleh kenaikan tarif elektrik disebabkan pelarasan mekanisme ketidakseimbangan kos laluan (ICPT) dan peningkatan dalam gaji minimum.

 

Sementara itu, pendapatan bersih realisasi merosot 33% kepada RM9.2 juta disebabkan kos kewangan lebih tinggi, sejajar dengan kenaikan Kadar Polisi Semalaman (OPR).

 

Bagaimanapun, prestasi portfolio Hektar REIT menunjukkan peningkatan yang ketara dan penghunian portfolio bertambah baik kepada 83.8%.

 

Pihak pengurusan juga melaporkan pengembalian sewa yang positif untuk suku ini dengan 78 penyewaan baharu atau diperbaharui terdiri daripada 14% daripada jumlah kawasan sewa bersih (NLA).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Johari Shukri Jamil berkata aktiviti peruncitan kekal kukuh pada suku ini berikutan perayaan manakala pusat beli-belah Hektar REIT mempunyai kedudukan yang baik.

 

 

Johari Shukri Jamil
Johari Shukri Jamil

 

 

“Untuk tahun ini, kami merancang untuk melaksanakan Subang Parade's Repositioning. Kami percaya bahawa pencampuran semula penyewaan dengan membawa masuk penyewa baharu akan melengkapkan tawaran sedia ada dan juga akan dapat menyamai jangkaan pelanggan setia kami,” katanya.

 

Menurut beliau, syarikat itu memberi tumpuan pada inisiatif yang akan memberi manfaat kepada pusat beli-belah dan peruncit dalam jangka masa panjang.

 

Tambahnya, inisiatif itu melibatkan pelaksanaan strategi tertumpu yang akan membawa peningkatan dalam jumlah pengunjung dan menggalakkan perbelanjaan pelanggan lebih tinggi, menghasilkan kitaran menaik positif berterusan dan pulangan mampan kepada pemegang unit.

 

“Penghunian portfolio keseluruhan kami pada masa ini adalah 85.4% dan akan direalisasikan pada suku berikutnya tahun ini. Kami sedang dalam perbincangan dengan penyewa terkemuka dan terkenal untuk menambah baik keseluruhan campuran penghunian dan penyewaan,” tambahnya. -DagangNews.com