Untung bersih Frontken pada 4QFY22 hanya meningkat 1% kepada RM29.84 juta ekoran masalah Loji 2 di Taiwan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Frontken pada 4QFY22 hanya meningkat 1% kepada RM29.84 juta ekoran masalah Loji 2 di Taiwan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Frontken Corporation Berhad merekodkan keuntungan bersih yang mendatar bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) dengan hanya peningkatan 1% ekoran kelewatan perolehan kelayakan kemudahan baharu, Loji 2, di bandar Kaohsiung, Taiwan.

 

Pada suku itu, untung bersihnya adalah RM29.84 juta berbanding RM29.55 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya manakala pendapatan 4QFY22 meningkat 11.35% kepada RM135.27 juta daripada RM121.49 juta pada tahun sebelumnya.

 

Di dalam laporan kewangan di Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu juga memaklumkan kos operasi loji itu adalah kira-kira RM4.2 juta pada suku terkini.

 

“Selain itu, terdapat kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak RM2.5 juta pada suku ini berbanding RM100,000 pada suku tahun sebelumnya,” kata syarikat tersebut. 

 

Perbandingan jika dikecualikan kos dan kerugian tersebut, kumpulan mampu mencapai keuntungan sebanyak RM41.7 juta, 23% lebih baik dari suku keempat tahun sebelumnya.

 

Pendapatan tahunan kumpulan itu pula meningkat 14.9% kepada RM517.2 juta daripada RM450.22 juta pada tahun sebelumnya.

 

Menurut Frontken, peningkatan pada pendapatan syarikat itu didorong oleh anak syarikatnya di Taiwan, Malaysia dan Singapura.

 

Perniagaannya di Malaysia dipacu oleh pengambilan pesanan untuk perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan peralatan berputar mekanikal serta perkhidmatan bekalan tenaga kerja melalui pelbagai kontrak bersama kumpulan syarikat Petronas.

 

“Perniagaan semikonduktor Taiwan kami terus mendapat manfaat daripada permintaan yang lebih tinggi dalam ruang semikonduktor.

 

Bahagian kejuruteraan di Singapura juga menyaksikan peningkatan dalam aktivitinya yang sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan industri minyak dan gas,” katanya.

 

Kumpulan tersebut memetik tinjauan Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) yang optimis industri akan kekal kukuh untuk jangka panjang memandangkan peranan cip semakin meningkat dalam menjadikan dunia lebih bijak, cekap dan terhubung.

 

Namun kumpulan itu berhati-hati dengan momentum positif industri minyak dan gas yang akan berterusan sehingga tahun ini berikutan peningkatan pesanan daripada pelbagai kontrak bersama Petronas.

 

“Kami akan terus berwaspada dalam pengurusan kos kami dan terus meneroka cara untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran kami.

 

Keutamaan kami adalah untuk terus menumpukan perhatian kepada kualiti perkhidmatan dan kecekapan untuk mengekalkan daya saing,” katanya yang optimis syarikat akan merekodkan memuaskan bagi tahun kewangan 2023. -DagangNews.com