Untung bersih Farm Fresh meningkat 8.9% kepada RM20.4 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Farm Fresh meningkat 8.9% kepada RM20.4 juta pada 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Keuntungan bersih Farm Fresh Berhad meningkat 8.9% kepada RM20.4 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY23) berbanding RM18.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ini didorong oleh pengurangan kos bahan mentah tenusu, kenaikan harga produk minuman sejuk di Malaysia bermula pertengahan Julai 2023 dan sumbangan daripada Inside Scoop Sdn Bhd dan Sin Wah Ice Cream Sdn Bhd.

 

Pendapatan sesaham (EPS) syarikat pengilang produk tenusu itu menokok sedikit kepada 1.09 sen pada suku dalam tinjauan daripada 1.01 sen.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan bagi 3QFY23 melonjak 30% kepada RM211.6 juta berbanding RM162 juta sebelumnya, jumlah tertinggi dicapai kumpulan itu yang dipacu oleh pengedaran produk ke hotel, restoran dan kafe (HORECA), jumlah jualan produk UHT serta sumbangan daripada Inside Scoop dan Sin Wah.

 

Secara kumulatif, keuntungan bersih Farm Fresh merosot 12% kepada RM39.6 juta daripada RM45 juta manakala pendapatan melonjak 27% kepada RM595 juta berbanding RM468 juta.

 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata kumpulan itu percaya prospek Farm Fresh kekal utuh dan kekal positif terhadap trajektori pertumbuhan kumpulan. 

 

Ini disokong oleh aiskrim barangan pengguna (CPG) yang dijadualkan pelancarannya menjelang Jun 2024.

 

“Kami merancang untuk memasang barisan pengeluaran baharu yang dijangka tiba pada April di kilang kami di Taiping dan akan memulakan pengeluaran sementara menunggu penyiapan kilang Enstek pada 2025. 

 

“Selain itu, pengambilalihan Sin Wah baru-baru ini menyediakan akses segera kepada pengedaran strategik dan keupayaan logistik, yang akan mengukuhkan lagi rangkaian pengedaran aiskrim kami,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Di samping itu, Loi berkata pengeluaran mentega telah dimulakan di kilang Taiping dan disasarkan untuk HORECA dan segmen perdagangan moden, selain susu kultur yang akan dihasilkan di kilang Larkin.

 

Bagi mengejar pertumbuhan serantau, beliau berkata kilang Farm Fresh di Filipina dijadualkan beroperasi menjelang Mei 2024, sementara menunggu lesen dan pendaftaran yang diperlukan selesai. 

 

“Rancangan awal kami akan tertumpu pada pelbagai jenis produk sejuk, produk UHT dan susu tepung untuk pasaran Filipina, dengan tumpuan utama di Manila,” tambahnya. - DagangNews.com