Untung bersih Bursa Malaysia susut 17% kepada RM56.2 pada 1QFY23 kesan penurunan pendapatan dagangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Bursa Malaysia susut 17% kepada RM56.2 pada 1QFY23 kesan penurunan pendapatan dagangan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Mei - Keuntungan bersih Bursa Malaysia Berhad pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) menyusut 17.4% kepada RM56.2 juta daripada RM68 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Penurunan dalam keuntungan bersih tersebut adalah berikutan pendapatan operasi pasaran sekuriti yang merosot 13.4% kepada RM100 juta daripada RM115.6 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22).

 

Menurut Bursa Malaysia, tinjauan pada suku tersebut mendapati kemerosotan tersebut adalah disebabkan oleh pendapatan dagangan menurun, dengan purata nilai dagangan harian (ADV) untuk dagangan dalam pasaran (OMT) dan dagangan perniagaan langsung (DBT) mencatatkan RM2.3 bilion berbanding RM2.7 bilion pada 1QFY22.

 

Sementara itu, jumlah perbelanjaan operasi meningkat 10.6% kepada RM80.2 juta berbanding RM72.5 juta pada 1QFY22 disebabkan perbelanjaan pemasaran dan pembangunan, serta kos teknologi dan perbelanjaan susut nilai yang lebih tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata 1QFY23 merupakan tempoh mencabar bagi pasaran modal disebabkan pelbagai faktor makroekonomi, dengan ADV pasaran sekuriti kembali ke tahap pra-pandemik berbanding 1QFY22.

 

“Bagaimanapun, pada asas suku ke suku, kami telah melihat peningkatan dengan keuntungan selepas cukai dan zakat (PAT) 14.6% lebih tinggi daripada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) iaitu pada RM49 juta,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Umar, terdapat peningkatan ketara dalam penyenaraian, dengan 10 tawaran awam permulaan (IPO) pada 1QFY23, dua kali ganda bilangan IPO yang direkodkan pada 1QFY22, menunjukkan sentimen pasaran bertambah baik dan keyakinan terhadap syarikat tersenarai di Bursa Malaysia sebagai platform pengumpulan dana berharga.

 

“Kami percaya bahawa pengenalan Rangka Kerja Pemindahan Pasaran LEAP baru-baru ini akan meningkatkan daya tarikan pasaran dan memudahkan akses pasaran lebih besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” tambahnya

 

Mengulas mengenai prospek pasaran pada suku-suku mendatang, beliau berkata unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2023 sebanyak 4 hingga 5% mengukuhkan keyakinannya terhadap prospek ekonomi Malaysia, memandangkan jangkaan permintaan domestik yang kukuh akan membantu menambat pertumbuhan ekonomi negara disebabkan ketidaktentuan luaran.

 

Bagaimanapun, beliau menambah, kebimbangan berterusan terhadap peningkatan kos sara hidup dan kos input mungkin memberi kesan kepada sentimen pengguna dan perniagaan, yang seterusnya boleh mempengaruhi volum dagangan dalam pasaran modal.

 

“Memandangkan kami mengharungi persekitaran mencabar yang berterusan, inisiatif akan dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan kos, di samping teguh dalam mengukuhkan ekosistem pasaran dan memperkenalkan tawaran baharu bagi meningkatkan kerancakan dan daya tarikan pasaran kepada pelabur.

 

Bursa Malaysia bersikap optimistik dengan berhati-hati dalam memenuhi kesemua 5 petunjuk prestasi utama (KPI) utama seperti yang diumumkan pada awal Januari 2023, dengan syarat tiada keadaan yang tidak diduga timbul pada tahun ini,” katanya. -DagangNews.com