Unjuran untung bersih Kimlun bagi FY23 dinaikkan 9% didorong buku pesanan lebih tinggi pada RM1.3 bilion – AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran untung bersih Kimlun bagi FY23 dinaikkan 9% didorong buku pesanan lebih tinggi pada RM1.3 bilion – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Sept - Unjuran keuntungan bersih Kimlun Corp Berhad pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dinaikkan sebanyak 9% disebabkan andaian peningkatan buku pesanan kepada RM1.3 bilion, kata AmInvestment Bank Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata andaian tersebut ditingkatkan sejajar dengan sasaran pengurusan yang dinaikkan daripada RM1 bilion kepada RM1.3 bilion susulan taklimat bersama kumpulan itu pada minggu lalu.

 

Bagaimanapun, firma itu mengurangkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY24F-25 sebanyak 13% hingga 21% untuk mengambil kira kenaikan kos jualan (melebihi 85% daripada hasil), didorong kesan inflasi ke atas projek lama bersama dengan kos bahan, komoditi dan tenaga yang lebih tinggi, diburukkan lagi oleh peningkatan kos kewangan.

 

Menurut AmInvestment, buku pesanan tertunggak Kimlun meningkat 20% kepada RM2.1 bilion pada 30 Jun 2023 daripada RM1.8 bilion pada 31 Mac 2022, merangkumi RM1.8 bilion untuk pembinaan dan RM300 juta bagi pembuatan dan perdagangan.

 

Antara projek yang sedang dijalankan termasuk Sabah-Sarawak Link Road (RM780 juta), kerja bangunan utama dua blok pangsapuri di Selangor (RM238 juta) serta pembekalan komponen konkrit pratuang untuk Singapore Deep Tunnel Sewerage Fasa 2 (S$23.9mil) dan projek MRT Singapura (S $45 juta).

 

Firma itu berkata, pada masa akan datang, potensi kerja Kimlun termasuk pembesaran BRT di Johor dan Lembah Klang, Lebuhraya Pan Borneo, Sistem Transit Rapid Johor-Singapura, kerja-kerja menaik taraf lebuh raya di Johor dan projek perumahan mampu milik di Malaysia.

 

“Kami percaya Kimlun akan mendapat manfaat daripada projek MRT3 dengan subkontrak dijangka diberikan menjelang akhir 2023. Sebagai imbasan, Kimlun memperoleh kontrak bekalan yang besar sebanyak RM524 juta pada 2012 dan 2016 melibatkan lapisan terowong dan galang kotak segmen untuk MRT1 dan MRT2.

 

“Kami menjangkakan jualan hartanah FY23 akan disokong oleh pelancaran 100 Trees Private Estate (100 Trees) dan projek Bukit Bayu Fasa 2,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

AmInvestment berkata pembangunan 100 Trees, yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM61 juta, terdiri daripada 60 rumah berkembar di Bandar Seri Alam, Johor manakala Bukit Bayu Fasa 2, dengan GDV RM48 juta, terdiri daripada 16 unit banglo di Shah Alam.

 

Kedua-dua projek terbabit akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini, sementara pengurusan juga merancang untuk melancarkan Bukit Bayu Fasa 3, yang akan mempunyai GDV RM42 juta, pada FY24.

 

Selain projek pembinaan, pengurusan Kimlun juga bercadang menambah kilang pratuang baharu di Ulu Choh, Johor awal November tahun ini, yang dianggarkan menelan kos antara RM30 juta hingga RM40 juta, dibiayai oleh penggunaan kemudahan perbankan yang lebih tinggi.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) lebih rendah pada RM1.08 sesaham berbanding RM1.36 sebelumnya. - DagangNews.com