Unjuran untung bersih Cahya Mata Sarawak bagi FY23-24 dipotong sehingga 28% diheret kerugian loji fosfat – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Unjuran untung bersih Cahya Mata Sarawak bagi FY23-24 dipotong sehingga 28% diheret kerugian loji fosfat – Maybank IB

Loji fosfat Cahya Mata Phosphates Industries yang terletak di Samalaju
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengurangkan unjuran keuntungan bersih teras Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 28% dan 12% dengan jangkaan kerugian loji fosfat kumpulan melebar.

 

Firma penyelidikan itu berkata sebelum ini kerugian operasi fosfat CMS, Cahya Mata Phosphates Industries (CMPI) pada FY23 dijangka sebanyak RM58 juta dengan mengandaikan permulaan operasi komersial pada pertengahan 2023.

 

Bagaimanapun, ia tidak lagi realistik dan firma itu kini menganggap operasi komersial bermula pada pertengahan 2024. 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Cahya Mata Sarawak jatuh 15 kali ganda kepada RM9.98 juta bagi 3QFY23

 

 

"Kami kini mengunjurkan kerugian yang lebih besar sebanyak RM136 juta di CMPI pada FY23, [dan] kerugian RM68 juta pada FY24," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada 11 Mei, Sesco telah mengeluarkan notis bahawa perjanjian pembelian kuasa (PPA) dengan CMPI dianggap telah ditamatkan dan akan menamatkan bekalan elektrik ke loji itu.

 

Maybank IB berkata Sesco telah memfailkan notis timbang tara kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) pada 24 November, dengan pendengaran keterangan kini ditetapkan pada 26 hingga 30 Ogos 2024. 

 

Dengan bekalan elektrik ke kompleks fosfat telah ditamatkan sejak 10 Julai, CMPI kekal berdepan dengan kerugian memandangkan operasi komersialnya tertangguh. 

 

"Kami menganggarkan kerugian CMPI sekurang-kurangnya RM10 juta untuk setiap bulan kelewatan permulaan operasi komersial CMPI," kata firma itu.

 

Kerugian lebih tinggi operasi fosfat telah mengimbangi operasi simen CMS, menyebabkan keuntungan bersih teras (CNP) CMS dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) hanya merangkumi 56% anggaran tahun penuh Maybank IB dan konsensus bagi FY23.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.30 sesaham daripada RM1.47 sebelumnya, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY24 sebanyak 10 kali ganda.

 

Setakat pukul 11:02 pagi ini, saham CMS telah turun 7 sen atau 6.3% kepada RM1.04 dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.1 bilion. - DagangNews.com