KUALA LUMPUR 13 Mac - Unjuran pendapatan UMediC Group Berhad bagi tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-26) dikurangkan sebanyak 7% hingga 10% selepas prestasi lemah pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24).
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pelarasan unjuran mengambil kira andaian kenaikan kos operasi dan cukai memandangkan keputusan kewangan kumpulan pada 2QFY24 diheret oleh dua faktor berkenaan.
Firma penyelidikan tersebut menjelaskan bahawa keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) UMediC sebanyak RM2.8 juta pada 2QFY24 menjadikan jumlah PATAMI pada separuh pertama FY24 kepada RM4.7 juta.
“Hasilnya berada di bawah jangkaan kami (36%) dan konsensus (37%) dan sisihan negatif adalah disebabkan oleh kos operasi dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi daripada jangkaan.
“Perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh peningkatan pengambilan pekerja sebagai persediaan untuk menambah kapasiti, manakala perbelanjaan cukai yang tinggi adalah berikutan pengiktirafan perbelanjaan yang tidak boleh ditolak cukai dan anggaran elaun modal yang terlalu tinggi,” kata firma itu dalam nota penyelidikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih UMediC Group susut kepada RM2.6 juta pada 2QFY24 berbanding RM2.9 juta pada tahun sebelumnya
Mengulas tentang prospek UMediC, HLIB berkata keyakinannya terhadap kumpulan kekal utuh, didorong oleh pengembangan kapasiti yang teguh dan kelebihan strategik dalam memanfaatkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan awam kepada 5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Menurut firma berkenaan, setelah mendapat kelulusan yang diperlukan, kumpulan itu telah memindahkan gudangnya ke kilang baharu, memberi laluan kepada pengembangan kapasiti pembuatannya.
“Kapasiti pengeluaran UMediC disasarkan untuk meningkat 40% kepada kira-kira 420,000 botol setiap bulan menjelang April 2024 sebelum mencapai 600,000 botol sebulan menjelang Disember 2024,” tambahnya.
HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada 91 sen sesaham berbanding RM1 sebelum ini selepas menyemak turut unjuran pendapatan.
TP itu mewakili gandaan harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 26.5 kali, berbanding pendapatan sesaham (EPS) tahun kalendar 2024 pada 3.4 sen.
Pada pukul 9:42 pagi ini, saham UMediC telah menurun 0.5 sen atau 0.7% kepada 67 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM250.5 juta. - DagangNews.com








