Unjuran pendapatan sesaham Solarvest pada FY25/26 dijangka susut 5.6% kesan cadangan penempatan persendirian | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan sesaham Solarvest pada FY25/26 dijangka susut 5.6% kesan cadangan penempatan persendirian

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan cadangan penempatan persendirian Solarvest Holdings Bhd bagi membiayai projek tenaga solar kumpulan akan mencairkan pendapatan sesaham (EPS) FY25/26 sebanyak 5.6%. 

 

Penganalisis Maybank IB, Nur Farah Syifaa Mohamad Fuad berkata, pihaknya bagaimanapun belum memasukkan jumlah pendapatan baharu daripada projek Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) sementara menunggu butirannya dimuktamadkan daripada pihak pengurusan.

 

"Tiada sebarang perubahan ramalan pendapatan buat masa sekarang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu bercadang untuk mengumpul dana sehingga RM56.71 juta melalui penempatan persendirian sebanyak 6% daripada asas sahamnya yang diperbesarkan untuk membiayai projek tenaga solarnya.

 

Kumpulan itu berkata, sehingga 40.22 juta saham akan diterbitkan kepada pihak ketiga di bawah cadangan itu.

 

Harga terbitan bagaimanapun belum ditetapkan tetapi anggaran RM56.71 juta itu adalah berdasarkan harga terbitan RM1.41, diskaun 9.62% kepada harga purata wajaran volum lima hari saham Solarvest sehingga 1 April 2024.

 

Sejumlah RM28.5 juta (50.3%) daripada hasil itu akan digunakan untuk perbelanjaan modal bagi projek-projek CGPP kumpulan yang dijamin, manakala RM12 juta (21.2%) akan digunakan bagi perbelanjaan modal projek solar atas bumbung komersial dan industri dan RM15.51 juta (27.3%) lagi untuk modal kerja.

 

Nur Farah berkata, pihaknya memahami bahawa pengurusan sedang mengejar peluang projek EPCC sebanyak 443.4MWp di bawah CGPP bagi meningkatkan buku pesanan mereka pada 4QFY24.

 

Katanya, kumpulan itu juga telah memperoleh perjanjian pembelian kuasa (PPA) korporat tempatan sebanyak 110MWp di bawah Powervest dan projek luar negara sebanyak 23.5MWp.

 

"Kami menjangkakan Solarvest akan terus mengembangkan buku pesanannya dengan memanfaatkan projek CGPP 800MW, serta kuota tenaga boleh diperbaharui (RE) bagi kuota 2GW LSS5 dan 500MW di bawah Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.76 sesaham," katanya. - DagangNews.com