KUALA LUMPUR 21 Ogos - RHB Investment menaikkan unjuran pendapatan KKB Engineering Bhd bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 11%, 6% dan 4% berikutan jangkaan separuh kedua 2023 (2H23) yang lebih kukuh, disokong oleh pengiktirafan projek kejuruteraan lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu menyemak naik unjuran walaupun keuntungan kumpulan pada separuh pertama sebanyak RM12.7 juta dalam jangkaannya, membentuk 51% daripada unjuran tahun penuh firma dan Street.
“Kami menganggarkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) pendapatan tiga tahunnya sebanyak 42%, disokong oleh prospek kerja yang lebih baik (terutamanya kerja-kerja fabrikasi keluli) daripada peningkatan perbelanjaan Petronas dan aspirasi tenaga hijau Sarawak,” ujarnya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Investment berkata, buku pesanan tertunggak kumpulan itu pada akhir Jun berjumlah kira-kira RM660 juta dengan kontrak baharu bernilai RM483 juta, berbanding sasaran penambahan kerja firma itu bagi FY23 sebanyak RM600 juta.
Di samping itu, buku tender kumpulan itu berjumlah sekitar RM500 juta - yang mana 80% adalah kontrak berkaitan minyak dan gas, manakala selebihnya adalah kontrak kejuruteraan, pembinaan dan pembuatan, di mana hasil hanya akan diketahui pada 2H23.
Menurut firma itu, KKB Engineering telah dilantik sebagai kontraktor utama untuk perjanjian harga bagi kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) melibatkan platform kepala telaga standard untuk Sarawak Shell dan Sabah Shell Petroleum.
Tambahnya, kontrak yang berkuatkuasa selama lima tahun dijangka meletakkan kumpulan itu di hadapan apabila membida pekerjaan fabrikasi keluli daripada kedua-dua syarikat minyak tersebut.
“Memandang ke hadapan, kontrak minyak dan gas yang diperoleh baru-baru ini daripada Sarawak Shell dan Samsung Engineering sepatutnya menyumbang secara positif pada suku-suku mendatang.
“Pemangkin jangka sederhana adalah pelancaran fasa kedua Program Grid Bekalan Air Sarawak (SWP) pada suku pertama tahun depan, di mana KKB Engineering telah memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM200 juta di bawah fasa pertama SWP,” tambahnya.
RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM1.90 sesaham daripada RM1.80.
Setakat pukul 4:15 petang ini, saham KKB Engineering menokok 6 sen atau 4.3% kepada RM1.46 dengan permodalan pasaran berjumlah RM421.5 juta. - DagangNews.com







