KUALA LUMPUR 17 Jan - Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) menerusi anak syarikatnya, Ping Petroleum Sdn. Bhd. menandatangani dua kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dengan Petronas membabitkan penemuan sumber minyak dan gas yang di Malaysia.
Kontrak pertama PSC adalah untuk membangunkan dan mengeluarkan sumber minyak dan gas di gugusan Meranti yang terletak 80 kilometer (km) di luar pesisir Kuala Terengganu.
Ping Petroleum ialah operator bagi kluster Meranti dengan kepentingan 60% manakala Duta Marine Sdn. Bhd. memegang lagi 40% kepentingan.
Sementara itu, PSC kedua pula membabitkan pembangunan dan pengeluaran sumber minyak dan gas di kluster A yang terletak 290 km di luar pantai Miri, Sarawak.
Bagi kluster A, Ping Petroleum memiliki 70% kepentingan manakala Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn. Bhd. (PSEP) memiliki baki 30% kepentingan.

Pengerusi Eksekutif DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kumpulan berbesar hati untuk mengembangkan portfolionya ke perairan Malaysia dengan kontrak sulung diperoleh daripada Petronas.
Katanya, penyertaan kluster Meranti dan kluster A dalam portfolio Ping Petroleum akan mengukuhkan semula kedudukan syarikat, membina rekod prestasi untuk pembangunan dan operasi kos rendah di United Kingdom (UK) dan membolehkannya mempelbagaikan aliran pendapatan dan operasi merentasi pelbagai geografi.
"Jumlah kos pembangunan untuk dua kluster akan ditentukan selepas konsep pembangunan dimuktamadkan.
"Kedua-dua kluster ini boleh menyumbang kepada peningkatan material sumber luar jangka Ping Petroleum dan menyokong peluang pertumbuhan seterusnya, selain memperkukuhkan perniagaan tenaga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Petronas mengeluarkan kontrak berkenaan berikutan Pusingan Bidaan Malaysia 2022 (MBR 2022). Ia ditandatangani antara Pengarah Urusan Ping Petroleum Limited, Zainal Abidin Jalil dan Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management, Mohamed Firouz Asnan.
DNeX melalui unit penerokaan dan pengeluaran huluan minyak dan gasnya, Ping Petroleum Limited kini mempunyai dua aset iaitu medan Anasuria dan Avalon di Laut Utara, UK.
Syarikat itu memberi tumpuan kepada pengeluaran dan peluang pembangunan air cetek dan kini merupakan pengendali bersama kluster (pengeluaran) Anasuria dan pengendali tunggal Avalon (pembangunan). - DagangNews.com








