unifi Business sokong PMKS menerusi #BelanjaDiSME | DagangNews Skip to main content

unifi Business sokong PMKS menerusi #BelanjaDiSME

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jun - unifi Business meraikan Hari PKS 2022 yang jatuh pada 27 Jun 2022 dengan kempen selama sebulan untuk membantu syarikat-syarikat tempatan bangkit semula setelah menempuh cabaran COVID-19, sambil menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong pertumbuhan perniagaan mereka.

 

Dengan menggunakan hashtag #BelanjaDiSME, unifi Business bersama beberapa rakan kongsi tersohor telah menyediakan pelbagai aktiviti yang mengujakan, seperti Cabaran Media  Sosial, rancangan bual bicara SMEs to SMEs, serta jelajah keusahawanan di seluruh negara.

 

Ia bagi meraikan peranan penting yang dimainkan oleh PMKS tempatan dalam mewujudkan pekerjaan, mempromosikan inovasi dan kreativiti, serta menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.

 

#BelanjaDiSME dipilih untuk menggalakkan rakyat Malaysia membeli produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PMKS tempatan, meningkatkan keuntungan perusahaan ini dan menyumbang kepada pemulihan mereka, pasca pandemik. 

 

Kempen ini dimulakan dengan Cabaran Media Sosial, di mana rakyat Malaysia dijemput untuk memuat naik gambar mana-mana PMKS tempatan pilihan di ruang media sosial peribadi mereka dengan kapsyen kreatif, ditandakan dengan hashtag #BelanjaDiSME. 

 

Peserta dengan gambar dan kapsyen paling kreatif akan berpeluang untuk memenangi hadiah menarik, seperti penginapan 3 hari dan 2 malam di destinasi percutian tempatan, peranti pintar, baucar beli-belah dan banyak lagi. Cabaran ini kini dibuka sehingga akhir bulan Jun, dan terbuka untuk semua.

 

Sementara itu, usahawan yang mencari inspirasi dan idea untuk mengembangkan perniagaan mereka boleh menonton program bual bicara SMEs to SMEs yang memaparkan kisah PMKS tempatan dalam perjalanan transformasi digital mereka.

 

Rancangan bual bicara ini boleh ditonton secara langsung di laman Facebook Unifi Business dan juga di Astro Awani. Ikuti dan dengarkan usahawan yang berjaya ini:

 

 

  • Anna Teo - Hernan Corporation (pengeksport terbesar dan terkemuka durian Malaysia) - 25 Jun di Astro Awani jam 10.30 malam

 

  • Joanne Goh - Kumpulan Jazzy (penerbit filem antarabangsa) - 27 Jun di Astro Awani jam 9.00 pagi

 

  •  Nadira Yusoff - Kiddocare (platform penjagaan bayi dalam talian) – 27 Jun di laman Facebook Sembang Bisnes unifi Business pada jam 3.00 petang.

 

Aktiviti jelajah ke seluruh negara sedang diadakan sepanjang bulan Jun, untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan PMKS tentang kepentingan proses pendigitalan untuk pertumbuhan dan pembangunan perniagaan mereka terutamanya semasa peralihan kepada fasa endemik ini.

 

Ini selaras dengan fokus kerajaan untuk memperkasakan kumpulan sasar ini dan meningkatkan taraf hidup mereka.
 

Dalam membantu para PMKS tempatan, unifi Business juga akan mempromosikan Geran  Pendigitalan PKS (SDG) yang mana usahawan boleh menikmati penjimatan sehingga 50% untuk langganan penyelesaian digital mereka daripada unifi Business atau mendapat geran padanan RM5,000, sebagai sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan pada 2021.

 

Ini merupakan peluang untuk PMKS meningkatkan produktiviti mereka sambil mengurangkan kos operasi. - DagangNews.com