UMS bincang rancangan strategik bagi perkukuh kerjasama dengan universiti di Jepun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UMS bincang rancangan strategik bagi perkukuh kerjasama dengan universiti di Jepun

KUALA LUMPUR 9 Jan - Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpotensi untuk menjalinkan pelbagai peluang kerjasama bersama universiti-universiti di Jepun melalui perancangan strategik yang dibincangkan antara UMS dan pihak Jepun. 

 

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, kunjungan hormat delegasi Jepun ke UMS yang diketuai Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko telah membuka ruang untuk perbincangan ke arah kerjasama tersebut. 

 

Beliau berkata, beberapa rancangan strategik telah dibincangkan bagi memperkukuhkan lagi hubungan negara Jepun dan Sabah khasnya menerusi perspektif pengajian tinggi.

 

“Ini sesuai dengan keberadaan UMS sebagai satu-satunya universiti awam yang bertapak di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Kasim, kedua-dua pihak turut melihat wujud potensi baik yang boleh dimainkan atau diteruskan oleh pihak kedutaan sendiri mahupun penglibatan universiti-universiti berkaitan di Jepun bersama UMS dalam memperkembangkan lagi hubungan langsung antara Jepun dan Sabah. 

 

“Ini khususnya dalam perkongsian budaya, pertukaran akademik (pengajian tinggi) dan juga penyelidikan yang berorientasikan kajian kawalan penyakit tropika, biodiversiti dan hidupan marin,” katanya.

 

Sementara itu, Takahashi memberitahu hubungan Jepun dan Malaysia telahpun berlangsung selama 65 tahun.

 

 

UMS
Prof Datuk Dr Kasim Mansor menyampaikan cenderamata sempena kunjungan hormat Takahashi Katsuhiko di UMS pada 9 Januari 2023

 

 

Katanya, pelbagai hubungan dua hala dilakukan dalam pelbagai bidang yang telah mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara. 

 

“Kemesraan hubungan ini mampu dieratkan lagi menerusi hubungan antara universiti di Jepun dan khasnya UMS di Sabah,” katanya.

 

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree berkata, hubungan sedia ada telahpun dijalin dengan Nagasaki University, Jepun bagi beberapa penyelidikan secara bersama di bawah Borneo Medical and Health Research Centre (BMHRC), FPSK. 

 

“Salah satu daripadanya ialah mengenai kajian berkaitan penyakit perubatan tropika seperti penyakit Malaria Monyet, arbovirus, heat adaptation dan banyak lagi.

 

“Kedua-dua universiti menghasilkan beberapa 'output' aktiviti bersama antaranya penerbitan berimpak tinggi, mobiliti pelajar dan pensyarah, lantikan profesor pelawat, permohonan geran Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS), penubuhan kampus satelit di Nagasaki dan UMS dan penganjuran seminar saintifik,” katanya. - DagangNews.com