UKM, UMS berkolaborasi tingkat penerbitan berimpak tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UKM, UMS berkolaborasi tingkat penerbitan berimpak tinggi

Prof. Dr. Hazita Azman dan Dr. Syahruddin Ahmad masing-masing mewakili UKM dan UMS menandatangani dokumen hasrat untuk mengadakan kolaborasi
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) mengadakan kolaborasi bersama FSSK Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha meningkatkan penerbitan berimpak tinggi oleh ahli akademik kedua-dua universiti. 

 

Kolaborasi tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani Surat Niat (LoI) sempena Bengkel Perwasitan Artikel Jurnal (Q1-Q4) anjuran bersama kedua-dua universiti di Kota Kinabalu baru-baru ini. 

 

UKM diwakili Dekan FSSK, Prof. Dr. Hazita Azman menandatangani LoI tersebut, manakala UMS diwakili oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSSK, Dr. Syahruddin Ahmad yang mewakili Dekan FSSK, Prof. Madya Dr. Asmady Idris. 

 

Hazita berkata, jalinan kolaborasi itu sekali gus membantu kedua-dua universiti untuk memenuhi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) seperti yang dituntut oleh Kementerian Pengajian Tinggi ke atas semua universiti awam.

 

“Kolaborasi ini akan membuka peluang untuk kerjasama yang erat dalam penyelidikan serantau Asia Tenggara berkaitan Geopolitik, Keselamatan Sempadan Antarabangsa Malaysia, data kebangsaan berkaitan COVID-19, dan kajian Impak Bencana Alam.

 

“Ini juga akan membawa kepada peluang untuk kedua-dua fakulti mengadakan persidangan flagship bertaraf antarabangsa kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, pengendalian Bengkel Perwasitan Artikel Jurnal (Q1-Q4) juga merupakan satu daripada aktiviti kerjasama yang telah membawa kepada LoI tersebut dan juga memorandum persefahaman (MoU) yang bakal ditandatangani UKM Kampus Bangi dalam masa terdekat.

 

“Besarlah harapan hasil daripada bengkel yang dijalankan ini akan menyaksikan peningkatan bilangan penerbitan berimpak tinggi dalam kalangan pensyarah-pensyarah terlibat bukan sahaja dari UKM dan UMS, tetapi juga universiti awam lain yang turut menyertai bengkel ini,” kata Hazita. 

 

 

ums
Prof. Dr. Hazita Azman menyampaikan ucapan sempena pemeteraian LoI antara UMS dan UKM

 

 

Dalam pada itu, Asmady ketika berucap secara dalam talian pada majlis tersebut berkata, kerjasama yang dijalin itu diharap dapat membantu pensyarah FSSK UMS khususnya untuk menempatkan artikel mereka dalam jurnal berimpak tinggi.

 

“Kita juga berharap agar melalui kolaborasi ini dapat meningkatkan bilangan sitasi kedua-dua pihak,” katanya.

 

 

ums
Bengkel Perwasitan Artikel Jurnal (Q1-Q4) anjuran bersama UMS dan UKM turut diadakan secara dalam talian

 

 

Terdahulu, seramai 60 peserta dari UKM, UMS, Universiti Utara Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Malaysia Kelantan telah menyertai bengkel selama 4 hari yang turut diadakan secara maya.

 

Perbincangan kedua-dua wakil universiti juga menghasilkan satu deklarasi bagi kolaborasi dalam 10 kluster sub-penyelidikan, iaitu dalam bidang ekonomi, sosial aktiviti, persekitaran, pemetaan, keselamatan, struktur politik, pelancongan, kewarganegaraan, perubahan iklim, dan pengurusan bencana. - DagangNews.com