Tuntutan kumpulan Sulu: Malaysia tidak berkompromi, terus pertahan kedaulatan negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tuntutan kumpulan Sulu: Malaysia tidak berkompromi, terus pertahan kedaulatan negara

PUTRAJAYA 19 Julai - Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam usaha mempertahankan dan melindungi hak serta kedaulatan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, kerajaan juga tidak akan berkompromi dan tidak sesekali tunduk dengan sebarang tindakan yang boleh merugikan negara.

 

Mengulas tuntutan kumpulan Sulu terhadap aset negara, katanya, kerajaan sentiasa peka dan cakna dengan apa yang berlaku serta bersiap sedia dalam aspek perundangan jika timbul sebarang isu membabitkan aset negara.

 

"Saya beri jaminan kita tak akan berkompromi dan berganjak seinci pun dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara. Namun, kita tidak bercadang untuk menggerakkan aset keselamatan bagi mengawasi aset negara yang terletak di luar pesisir daripada dirampas pihak tertentu.

 

"Bukan senang nak bawa aset keselamatan masuk ke negara lain. Mereka tak akan benarkan kecuali Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) saja, tetapi kita akan lindungi (aset negara) dari segi perundangan. Apa yang berlaku kita bawa kes ini ke mahkamah," katanya selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 di sini, hari ini.

 

Mengulas apa yang berlaku ke atas aset milik syarikat berkepentingan negara seperti Petronas di luar negara susulan tuntutan dikemukakan kumpulan Sulu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menubuhkan pasukan jawatankuasa khas untuk melihat mengenai aset yang dituntut itu.

 

Beliau berkata, sebarang perkara berkaitan negara, kerajaan sentiasa melihatnya dengan penuh tanggungjawab.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Tindakan sedang dijalankan, sedang diambil seperti yang Menteri Parlimen dan Undang-Undang (Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar) sebutkan.

 

"Kita sudah wujudkan pasukan khas untuk melihat perkara ini secara menyeluruh...bukan (membabitkan) Petronas saja. Ia termasuk aset lain di luar negara, banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan yang lain mempunyai aset di luar negara," katanya.

 

Rabu lalu, Jemaah Menteri menubuhkan pasukan khas bagi meneliti, memantau dan merangka tindakan undang-undang bagi menangani tuntutan kumpulan Sulu terhadap kerajaan.

 

Mengumumkan perkara itu, Wan Junaidi berkata, beliau sendiri akan mengetuai pasukan khas terbabit, selain dianggotai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.

 

Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.

 

Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

 

Pada 11 Julai lalu, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

 

Bagaimanapun, Petronas dalam kenyataannya memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan, lapor Berita Harian.

 

Pada 12 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia. - DagangNews.com