Tune Protect Life sedia pelan insurans hayat dan kesihatan untuk PKS menerusi SME EZY | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tune Protect Life sedia pelan insurans hayat dan kesihatan untuk PKS menerusi SME EZY

Rohit Nambiar (kiri) dan Koot Chiew Ling
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - Tune Protect Ventures Sdn Bhd (Tune Protect Life) merapatkan jurang perlindungan negara dengan menyediakan alternatif saranan nilai berbeza untuk masyarakat tercicir dan kurang diberi perkhidmatan kewangan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), B40 dan M40, secara digital. 

 

Ia susulan anak syarikat milik penuh Tune Protect Group Berhad itu menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyertai Program Uji Cuba Kawal Selia Teknologi Kewangan, baru-baru ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, Rohit Nambiar berkata, salah satu tonggak perniagaan kumpulan ialah menyasarkan PKS untuk membantu mengurangkan faktor risiko disebabkan perniagaan. 

 

"Adalah penting untuk kami memberikan perlindungan kepada para pekerja dan tanggungan mereka supaya dapat menguruskan kos perubatan dengan lebih baik serta memastikan perlindungan insurans adalah cukup untuk pekerja mereka. 

 

"Inilah yang mencetuskan cadangan SME EZY kerana kami meramalkan masa depan yang positif untuk segmen PKS dalam usaha untuk terus membina kesihatan dan PKS sebagai tonggak perniagaan.

 

"Tune Protect Life memberikan jalan untuk memperolehi insurans hayat dan kesihatan melalui langkah-langkah mudah diakses dengan harga berpatutan, bermula dengan insurans faedah pekerja bagi PKS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pegawai Utama Tune Protect Life, Koot Chiew Ling pula berkata, SME EZY merupakan sebuah pelan insurans faedah pekerja yang disasarkan untuk PKS kerana pihaknya menyedari bahawa pengekalan pekerja dan produktiviti merupakan satu cabaran besar dalam dunia pasca-pandemik. 

 

Katanya, ia direka untuk membantu PKS untuk merancang belanjawan lebih awal melalui insurans perubatan berkumpulan dengan premium tetap selama 3 tahun, yang turut disertakan program ganjaran berasaskan kesihatan (Activ8) bagi memberi motivasi kepada kakitangan untuk kekal sihat. 

 

"Pada masa yang sama mereka boleh diberi ganjaran sehingga 100% peningkatan dalam had tahunan keseluruhan perlindungan insurans mereka berdasarkan keputusan penilaian kesihatan. Semua pihak akan mendapat faedah," katanya.

 

SME EZY merupakan perlindungan hayat dan kesihatan yang berpatutan dan komprehensif untuk pekerja PKS yang mempunyai sekurang-kurangnya 5 hingga 250 pekerja dan juga boleh diperluaskan kepada tanggungan mereka. 

 

Ia terdiri daripada tiga produk iaitu, insurans hayat kumpulan, insurans kesihatan kumpulan dengan pilihan produk tahunan atau 3 tahun dan insurans klinikal pesakit luar.

 

Majikan boleh memilih untuk mencampur dan memadankan tiga produk ini berdasarkan bajet mereka dengan merujuk kepada broker yang menjadi saluran pengedaran SME EZY. - DagangNews.com