KUALA LUMPUR 21 Jun - Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon meluahkan kekecewaan terhadap syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia ekoran isu penangguhan dan penjadualan semula penerbangannya.
Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menerusi ciapan di Twitter berkata, penerbangan beliau dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang mengalami kelewatan sebanyak dua kali, semalam.
Beliau juga hairan bagaimana isu tersebut bagaikan tiada kesudahan sejak sekian lama.
"Malam tadi, dua kali flight @airasia saya delay. Akhirnya saya ambil keputusan tak naik. Bazir masa, bazir wang ringgit. Aduh, kenapalah AirAsia macam ni.
"Masalah ini bukan kali pertama dan ramai yang terkesan. Pihak pengurusan perlu bertanggungjawab," katanya.
Pada 11 Mei 2022, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, empat faktor utama dikenal pasti AirAsia yang menyumbang kepada kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan membabitkan pelbagai destinasi.
Antara punca dinyatakan syarikat penerbangan itu ialah disebabkan jumlah pesawat yang terhad dan AirAsia kini beroperasi hanya dengan 40 pesawat berbanding 95 pesawat sebelum pandemik COVID-19.


Selain itu, kekangan operasi, kawal selia, isu teknikal dan keadaan cuaca menyebabkan operasi AirAsia terjejas di beberapa tempat. - DagangNews.com








