TT Vision, Autowell jalin kerjasama bina kilang pembuatan peralatan automasi berkaitan tenaga solar di Malaysia | DagangNews Skip to main content

TT Vision, Autowell jalin kerjasama bina kilang pembuatan peralatan automasi berkaitan tenaga solar di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Mac - TT Vision Holdings Bhd menjalinkan kerjasama dengan Autowell (Singapore) Pte Ltd bagi membina kilang pembuatan di Malaysia untuk menghasilkan peralatan automasi serta perisian berkaitan tenaga solar. 

 

Kedua-dua kumpulan itu akan menubuhkan syarikat kerjasama (JV) bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan, pengeluaran serta penjualan produk ke pasaran Asia Tenggara, Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

 

Pelaburan awal kerjasama itu adalah sebanyak RM166.66 juta, dengan RM24.99 juta akan datang daripada TT Vision, memberikannya 15% kepentingan dalam syarikat kerjasama itu.

 

"Autowell yang merupakan anak syarikat Wuxi Autowell Technology Co Ltd akan melabur sejumlah RM141.61 juta untuk 85% kepentingan dalam JV itu," katanya kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

TT Vision berkata, JV itu akan meneruskan kepelbagaian perniagaannya dengan memupuk kerjasama dengan pelaburan langsung asing, membuka pasaran baharu, khususnya dalam peralatan solar termaju.

 

Kerjasama itu, yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan, akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan/atau hasil yang akan diperoleh daripada usaha penjanaan dana melalui pasaran modal, kata kumpulan itu.

 

TT Vision, yang disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada 2019, telah disenaraikan semula di Pasaran ACE pada Januari 2023, meningkatkan jumlah hasil kasar sebanyak RM28.73 juta.

 

Kumpulan itu mempunyai empat bahagian perniagaan iaitu peralatan pemeriksaan optoelektronik, komponen dan peralatan pemeriksaan litar bersepadu, peralatan pemeriksaan sel solar dan peralatan robotik berpandukan penglihatan. - DagangNews.com