KUALA LUMPUR 17 Feb - MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd yakin bahawa wilayah selatan akan menjadi kawasan pertumbuhan utama dan menyumbang ke arah kemajuan MAN di Malaysia berikutan prestasi cemerlang pada tahun 2022.
Peningkatan ini dipacu oleh sambutan yang amat menggalakkan di pasaran terhadap rangkaian trak MAN baharu berkuasa Euro V.
Semakin banyak syarikat pengangkutan kini memilih trak MAN baharu dengan enjin Euro V pelepasan rendah yang terbukti mampu membantu perniagaan mencapai matlamat kemampanan dan keuntungan mereka.
Pengurus Besar MAN Malaysia, Andrew O’Brooks berkata, pihaknya gembira melihat semakin banyak syarikat pengangkutan Malaysia, terutamanya di Johor yang komited untuk mengurangkan jejak karbon kumpulan kenderaan masing-masing dengan trak MAN baharu.
"Tahun 2022 merupakan tahun pertumbuhan yang menakjubkan bagi kami dan dengan peningkatan sokongan daripada pemain industri utama di seluruh negara, kami menantikan tahun yang lebih hebat di hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, 50 orang ahli Persatuan Pengusaha Lori Johor (JTA) hadir pada majlis penyerahan trak MAN baharu kepada syarikat pengangkutan berpangkalan di Johor.
Pada majlis penyerahan kunci, tiga buah syarikat yang mengendalikan trak MAN generasi terdahulu menerima trak MAN TGS baharu berkuasa Euro V bersama dua pelanggan baharu yang menerima trak MAN pertama mereka.


Tambah O’Brooks, MAN Malaysia kini bersedia untuk memenuhi permintaan kumpulan pelanggan yang semakin meningkat di negara ini.
"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan persatuan-persatuan industri untuk memperjuang isu-isu dan memacu perubahan. Kami berazam untuk terus mengukuhkan lagi reputasi jenama MAN di Malaysia,” katanya.

Selepas hampir tiga dekad di Rawang, syarikat telah memindahkan ibu pejabatnya ke kemudahan bersepadu yang moden dan luas di Shah Alam. Kemudahan ini akan menempatkan keseluruhan operasi syarikat, termasuk pemasangan kenderaan, di bawah satu bumbung. - DagangNews.com








