KUALA LUMPUR 28 Feb - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM359 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berbanding kerugian sebanyak RM136.7 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Kumpulan juga merekodkan keuntungan bersih bagi FY22 sebanyak RM187.2 juta daripada kerugian sebanyak RM766.4 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan 4QFY22 yang melonjak kira-kira 82% kepada RM1 bilion daripada RM551.3 juta turut mendorong pendapatan FY22 sebanyak 86.9% kepada RM3.13 bilion berbanding RM1.67 bilion pada tahun sebelumnya.
Selain itu, kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 3.91 sen sesaham.
Mengulas berkenaan peningkatan pendapatan, kumpulan itu berkata, ia didorong oleh operasi di Malaysia yang mengalami pergerakan penumpang sebanyak 52.7 juta pada FY22, hampir lima kali ganda daripada FY21 berikutan pemulihan perkhidmatan penerbangan pasca pandemik.
Sementara itu, operasi di Turkiye menyaksikan peningkatan 23% iaitu sebanyak 31.2 juta pergerakan penumpang, terutamanya didorong pertumbuhan 10.4% dalam pergerakan penumpang antarabangsa.
“Pemulihan teguh yang dilihat di Malaysia dan Turkiye adalah berikutan pelonggaran sekatan perjalanan dan kesihatan global, peningkatan keyakinan penumpang untuk melakukan perjalanan serta penyambungan semula operasi syarikat penerbangan melalui pemulihan kapasiti dan penambahan laluan baharu,” jelasnya.
Menurut MAHB, mereka berhemat dalam pengurusan kos yang merekodkan kos operasi yang sederhana, terutamanya untuk memenuhi keperluan operasi seiring dengan peningkatan trafik penumpang.
Yuran penggunaan juga dikurangkan dalam operasi Turkiye serta sumbangan daripada syarikat bersekutu dan usaha sama kumpulan tersebut yang memberi kesan positif kepada keuntungan.
Pengarah Urusan Kumpulan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood optimis terhadap prestasi masa depan kumpulan berikutan trafik penumpang semakin bertambah baik dan pulih seperti ketika sebelum pandemik.
“Kami kini sedang berusaha memuktamadkan dan menandatangani perjanjian operasi (OA) baharu dengan kerajaan selepas menerima kelulusan Kabinet pada terma utama, awal bulan ini, yang akan memangkin rancangan pembangunan dan mencatat pertumbuhan masa depan kami.
"Walaupun kumpulan terus aktif mencari peluang menjana pendapatan, kami juga akan terus berhemat dalam menguruskan kos untuk mengukuhkan kedudukan kewangan,” tambahnya.
MAHB juga telah menerima kelulusan dalam prinsip untuk Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang daripada kabinet pada awal Februari, yang akan meletakkan sebagai lapangan terbang bandar dan hab penerbangan perniagaan terkemuka di Asia Pasifik. -DagangNews.com








