KUALA LUMPUR 11 Feb - ODESI ECOB Sdn. Bhd. (ODESI) melancarkan program Total Energy Saving yang bakal menjimatkan tenaga elektrik sehingga 20% untuk lebih 8,000 bangunan strata di Selangor.
Konsep ‘Zero Cost, Zero Risk' berada di bawah inisiatif Dana Bangunan Hijau ke arah Kesejahteraan Bandar (BHKB) yang dinaungi oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
ODESI disokong pelaburan sebanyak RM520 juta dalam usahanya untuk memacu program tersebut yang menggalak pembaharuan tenaga untuk membina masa depan lebih baik dan lestari.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ODESI, Ken-Ji Loh berkata, Total Energy Saving adalah sebuah program serampang dua mata, iaitu Program Urban Solar dan Program LED Exchange.
"Sebagai hasil akhir, kami menjangkakan penjimatan sehingga 20% dalam bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk hartanah dan lebih penting adalah mahu mengurangkan jejak karbon untuk menjadikan kehidupan lebih mesra alam," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, dua memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai, disaksikan Exco Kerajaan Negeri Selangor untuk Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail dan Ketua Eksekutif LHPS, Datuk Dr. Juhari Ahmad.
Ken-Ji berkata, dua pelabur utama program tersebut adalah Kumpulan SCOMI Berhad yang telah menyediakan pelaburan sehingga RM120 juta dan Synergy Group Hong Kong akan menyumbang modal sebanyak RM400 juta.
"Bersandarkan keyakinan ini, ODESI ingin membuktikan yang kami boleh membantu lebih banyak bangunan di Malaysia mencapai penjimatan dan menjana keadaan hidup lebih baik untuk generasi semasa dan akan datang," katanya.

Rodziah pula berkata, Selangor berbangga menjadi antara negeri pertama memacu inisiatif yang akan menyaksikan masa depan lebih cerah dan hijau serta menjana penjimatan untuk rakyatnya dan pengurusan bangunan strata.
"Kami semestinya berharap menjadi negeri contoh untuk usaha kami dan mendapat manfaat daripada program ini," katanya.

Juhari berkata, berkiblatkan kuasa solar adalah langkah tepat bagi LPHS dalam menggalak tenaga yang boleh diperbaharui apabila perubahan iklim menjadi isu besar.
"Pulangan dinikmati penduduk dan pihak pengurusan adalah positif, tetapi apa yang lebih penting adalah inisiatif ini akan membawa menfaat bagi generasi akan datang adalah suatu perkara untuk diraikan," katanya. - DagangNews.com








