Tomei yakin raih keuntungan besar didorong jualan sempena Aidilfitri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tomei yakin raih keuntungan besar didorong jualan sempena Aidilfitri

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Mac - Keputusan kewangan Tomei Consolidated Berhad (Tomei) pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 diunjur kukuh disumbang peningkatan jualan musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, secara sejarahnya, jualan emas 916 Tomei berada tahap tinggi sewaktu umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri.

 

Justeru kata firma penyelidikan, ditambah dengan pengembangan margin, Tomei sekali lagi dilihat berada kedudukan strategik untuk mencatatkan peningkatan jualan bagi perayaan kali ini.

 

"Perlu diberi perhatian ialah Tomei kini didagangkan pada 4.3x P/E, jauh lebih rendah sebanyak 57% berbanding purata 10 tahunnya sebanyak 10x," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut HLIB, keterujaan pendapatan daripada musim perayaan dan harga emas yang memberangsangkan seharusnya membawa kepada penarafan semula harga saham Tomei.

 

Katanya, harga emas global mengalami kenaikan ketara pada Mac, didorong oleh jangkaan pemotongan kadar faedah yang akan berlaku oleh Rizab Persekutuan AS, mencapai rekod tertinggi AS$2,195 satu auns sebelum menjejak semula sedikit kepada AS$2,182 satu auns pada hari Isnin.

 

“Lonjakan ini bukan sahaja mencetuskan minat dalam kaunter berkaitan emas seperti Tomei, tetapi juga melonjakkan harga saham mereka.

 

“Penembusan kukuh hari Isnin melepasi paras tertinggi sebelumnya RM1.40, ditambah dengan volum yang berkembang, bersedia untuk melonjakkan harga saham ke arah rantau RM1.52-RM1.59-RM1.67,” kata firma penyelidikan itu.- DagangNews.com