KUALA LUMPUR 26 April - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengalu-alukan inisiatif pemberian tol percuma kepada Keluarga Malaysia yang menggunakan perkhidmatan rangkaian lebuhraya PLUS pada 30 April, 1 Mei, 7 Mei dan 8 Mei bersempena dengan sambutan Aidilfitri seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 25 April 2022.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, PLUS menjangkakan sebahagian besar daripada pengguna lebuhraya akan merebut peluang untuk menikmati faedah tol percuma dan menyusun jadual perjalanan balik kampung dan kembali semula ke ibu kota berdasarkan tarikh-tarikh tol percuma tersebut.
“Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai supaya membuat persiapan rapi dan menjangkakan tempoh perjalanan di lebuhraya mungkin lebih panjang kali ini terutamanya pada 4 hari istimewa yang diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azman, bagi menguruskan lonjakan trafik ekoran pengumuman tersebut, PLUS juga menyatakan komitmennya untuk mengambil segala langkah yang munasabah untuk membantu orang ramai ketika berlakunya lonjakan trafik pada keempat-empat hari tersebut.
“Pihak PLUS akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dan kami telahpun mengatur pelbagai persediaan rapi melibatkan aspek perjalanan di lebuhraya, di plaza tol dan juga kawasan-kawasan rehat,” jelasnya.
Pada masa sama, PLUS mengambil peluang ini untuk menjelaskan bagaimana pemberian tol percuma tersebut dilaksanakan di rangkaian lebuhrayanya:
1) Di lebuhraya yang menggunakan sistem Tol Tertutup (lazimnya bagi lebuhraya antara bandar), Tol percuma dinikmati ketika pengguna melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.
2) Bagi membolehkan PLUS merekodkan data trafik, pengguna yang memilih untuk menggunakan kad Touch ‘n Go, mereka masih perlu menyentuh kad Touch ‘n Go mereka di lorong tol di plaza tol. Namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad Touch ‘n Go tersebut.
3) Sementara itu, pengguna yang memilih untuk menggunakan RFID juga perlu memastikan mereka masuk dan keluar dari lebuhraya menggunakan lorong RFID sahaja. Sepertimana kad Touch ‘n Go dan SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet mereka.
4) Bagi pengguna kad Touch ‘n Go, mereka dinasihatkan supaya memeriksa status kad Touch ‘n Go sebelum perjalanan mereka dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd di http://tngportal.touchngo.com.my/tngPortal/login . Ini adalah bagi mengelakkan mereka terkandas di lorong tol yang mengakibatkan kesesakan jika menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif. Mereka boleh membuat pertukaran kad baru dengan pihak Touch ‘n Go atau wakilnya yang sah.
Beliau berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai sekali lagi yang ingin bergerak masa hari-hari puncak, terutamanya pada 4 hari tersebut supaya mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan sebelum ini.
"Rancang perjalanan anda dengan teliti untuk mengurangkan kesesakan dan tingkatkan keselesaan ketika memandu bersama keluarga. Ini termasuklah jadual untuk berhenti rehat untuk menyegarkan diri serta makan dan minum yang secukupnya,” katanya.
Pelanggan lebuhraya juga disaran supaya memuat turun Aplikasi PLUS untuk meninjau keadaan trafik terkini di lebuhraya menerusi paparan CCTV yang disediakan.
Selain itu, mereka juga digalakkan supaya menggunakan Waze atau GoogleMap untuk merancang perjalanan mereka sepanjang musim perayaan ini. Maklumat trafik terkini juga boleh diperolehi menerusi Twitter PLUSTrafik. - DagangNews.com








