KUALA LUMPUR 17 Feb - Tan Sri Zainun Ali dilantik sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkuat kuasa 17 Februari 2023.
Dalam kenyataan hari ini, MAHB berkata, Zainun pernah menerajui kumpulan itu selaku pengerusi dari 18 Januari 2019 hingga 11 Ogos 2020.
"Sebelum berkecimpung dalam dunia korporat, Zainun merupakan ahli Badan Kehakiman Malaysia selepas bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2018.
"Kerjaya cemerlangnya menyaksikan beliau menghakimi beberapa kes penting yang telah memberi kesan kepada perundangan Malaysia," katanya.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Undang-undang dari Universiti Cambridge, United Kingdom.
Pada masa ini, Zainun menyandang jawatan Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Pengarah dengan Allianz Malaysia Berhad (AMB) dan perunding di firma guaman Zain & Co.
Beliau juga bertugas sebagai hakim di Tribunal Pentadbiran Bank Pembangunan Islam Jeddah dan merupakan penimbang tara berdaftar di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
Zainun juga menganggotai Lembaga Penasihat Rangkaian Integriti Kehakiman Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan merupakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). -DagangNews.com








