Tokio Marine, KirimMan dan Finology bekerjasama tawar insurans mampu milik kepada penunggang p-hailing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tokio Marine, KirimMan dan Finology bekerjasama tawar insurans mampu milik kepada penunggang p-hailing

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 April - Tokio Marine Insurans (Malaysia) Bhd bekerjasama dengan penyelesaian logistik sehenti, KirimMan dan syarikat fintech Asia Pasifik, Finology untuk menawarkan  produk insurans mampu milik untuk pekerja ekonomi gig, khususnya penunggang perkhidmatan p-hailling.

 

Produk baharu berharga serendah RM1 sehari itu, menawarkan perlindungan kemalangan kepada mereka semasa bekerja, selain meliputi kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan, dan yuran ambulans. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Tokio Marine, Ng Hang Ming berkata, produk baharu itu mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian insurans mampu milik kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira pekerjaan atau tahap pendapatan mereka. 

 

"Kami percaya bahawa semua orang berhak mendapat akses kepada perlindungan insurans yang berkualiti, dan kami berbangga untuk bekerjasama dengan KirimMan dan Finology untuk menawarkan insurans mampu milik kepada pekerja gig," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pengarah Eksekutif dan Pengasas Bersama KirimMan, Tim Chee pula berkata, produk insurans baharu itu akan membantu pekerja gig berasa lebih selamat semasa bekerja. 

 

Katanya, sebagai pengagregat logistik dan pembekal yang bekerja dengan pelbagai syarikat logistik, pihaknya memahami risiko yang dihadapi penunggang penghantaran setiap hari. 

 

"Dengan menawarkan perlindungan insurans yang berpatutan, kami berharap dapat memberikan ketenangan fikiran yang mereka perlukan untuk melakukan tugas mereka dengan berkesan," katanya.

 

 

phailing

 

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama Finology, Robin Ang menekankan fokus syarikat untuk membolehkan penyelesaian insurans untuk rakan kongsi dan menjadikan insurans lebih mudah diakses melalui teknologi. 

 

"Misi kami di Finology adalah untuk memudahkan insurans dan menjadikannya lebih mudah diakses oleh semua orang. Dengan memanfaatkan teknologi dan kepakaran kami, kami berdedikasi untuk membolehkan penyelesaian insurans untuk rakan kongsi kami," katanya.

 

Katanya, melalui kerjasama dengan Tokio Marine dan KirimMan, pihaknya dapat mendayakan produk insurans mampu milik yang mudah difahami dan mudah dibeli.

 

Walaupun tumpuan diberikan kepada produk kemalangan peribadi untuk penunggang, kerjasama itu juga telah menghasilkan insurans barangan dalam transit.

 

Dengan kadar serendah RM2 setiap petak, produk ini menyediakan perlindungan jumlah diinsuranskan yang lebih tinggi daripada pembekal logistik lain. - DagangNews.com