TNB, SP Setia meterai MoU inisiatif tenaga hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB, SP Setia meterai MoU inisiatif tenaga hijau

Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) bersama Datuk Seri Hasan Arifin (kiri), Ahmad Zulqarnain Onn (dua dari kiri) dan Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (kanan) menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara TNB dan S P Setia di Putrajaya hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan SP Setia Berhad (SP Setia) untuk menyediakan solusi tenaga pintar dan tenaga boleh baharu (RE) sebagai sumber utama elektrik masa hadapan kepada bakal pembeli kediaman dan bangunan komersial yang dibangunkan syarikat pemaju hartanah itu. 

 

Memorandum persefahaman (MoU) mengenainya ditandatangani bagi membolehkan pemasangan sistem solar PV di atas bumbung serta persediaan pemasangan solusi bateri dalam projek pembangunan kediaman dan komersial S P Setia akan datang. 

 

Ia memberi pilihan kepada pelanggan S P Setia sebaik solusi boleh didapati secara komersial, apabila berakhirnya kuota Net Energy Metering (NEM). Premis tersebut juga direka bentuk untuk menyokong kemudahan pemasangan pengecas EV apabila pemilik berhasrat memasangnya kelak. 

 

Inisiatif ini selaras Hala Tuju Kelestarian TNB dan pelan hala tuju Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) S P Setia menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. 

 

Skim Pemeteran Tenaga Bersih 3.0 (NEM 3.0) menggalakkan pengguna elektrik untuk memasang solar PV atas bumbung, yang mana lebihan tenaga dijana solar PV boleh dieksport kembali ke grid kuasa secara “one-on-one” offset. 

 

Kuota peruntukan 800 MW dari 2021-2023 disediakan bagi skim NEM 3.0 untuk rumah kediaman, bangunan komersial dan bangunan�bangunan kerajaan serta agensi kerajaan. 

 

NEM 3.0 dilaksanakan Kementerian Tenaga & Sumber Asli, dan dikawalselia Suruhanjaya Tenaga dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia sebagai Agensi Pelaksana. 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Abdul Razib Dawood; Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Ahmad Zulqarnain Onn; Pengerusi S P Setia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin turut hadir bagi menyaksikan majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak.

 

MoU ditandatangani Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai di Hotel Le Meridien, Putrajaya pada 12 April 2022. Ketua Pegawai Pelanggan (Government & Large Business) TNB, Nasaruddin Mohd Zaini dan Ketua Pegawai Operasi S P Setia, Datuk Seri Koe Peng Kang sebagai saksi. 

 

Mustapa berkata, kerajaan berharap syarikat dan organisasi lain turut mengikut jejak TNB dan S P Setia yang berusaha membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan mewujudkan kawasan kediaman dengan kualiti alam sekitar lebih baik dengan sumber tenaga hijau dan mampan. 

 

“Ia adalah satu inisiatif istimewa yang menemukan dua entiti berbeza dalam bidang industri tenaga dan perumahan, berganding bahu demi matlamat bersama yang membawa kebaikan kepada negara. Ia adalah sejajar agenda perubahan iklim dan teknologi hijau,” katanya dalam ucapan pada majlis itu di Putrajaya. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, MoU ini akan memberikan peluang kepada TNB membantu menggalakkan mobiliti karbon rendah di samping mendalami cita rasa dan permintaan pemaju hartanah, sekali gus membantu TNB mengenal pasti rakan kongsi utama masa depan. 

 

“TNB juga akan dapat melibatkan diri pada peringkat yang lebih awal bagi memastikan peluang yang lebih tinggi untuk menjadi pembekal solusi kepada S P Setia. Berbekalkan pengalaman dan kepakaran yang ada, TNB yakin mampu memanfaatkan 41 projek aktif S P Setia dan mengesyorkan produk yang relevan dengan teliti mengikut keperluan syarikat tersebut,” katanya. 

 

Kerjasama strategik ini akan membantu S P Setia untuk mengoptimumkan kos dalam usaha mereka untuk membangunkan projek-projek hartanah dengan tenaga lestari. Secara tidak langsung, menjadikan projek hartanah S P Setia terus berdaya saing, moden, terkini dan berkualiti. 

 

Choong pula berkata, pihaknya berbesar hati menandatangani MoU itu dengan pembekal utiliti negara. 

 

"Ini merupakan satu pencapaian dalam kerjasama untuk menyediakan solusi tenaga mampan kepada bakal pemilik hartanah kami di masa hadapan dengan potensi penjimatan ketara dalam penggunaan tenaga sebagai nilai tambah," katanya. - DagangNews.com