KUALA LUMPUR 3 Mei - Penurunan harga bahan api global baru-baru ini memberi petanda baik kepada aliran tunai Tenaga Nasional Bhd disebabkan keperluan modal kerja yang lebih rendah.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mekanisme pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) kekal utuh, dengan RM16.2 bilion telah diluluskan untuk separuh pertama berakhir 30 Jun 2023, dengan RM10.8 bilion disubsidi oleh kerajaan dan baki RM5.4 bilion diluluskan kepada pengguna akhir bukan domestik.
“Kami menjangkakan TNB akan melaporkan prestasi lebih kukuh pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) selepas 4QFY22 yang mengecewakan dan kedudukan kunci kira-kira yang lebih kukuh,” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Firma itu berkata terdapat kekecewaan pendapatan dalam keputusan 4QFY22 sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan dipercepatkan dan penyelarasan perbelanjaan pada suku tersebut.
“Susulan makluman terkini daripada pihak pengurusan, kami menjangkakan pendapatan kembali normal pada 1QFY23.
"Digabungkan dengan kedudukan kunci kira-kira dan aliran tunai lebih baik (disebabkan oleh penurunan kos bahan api dan ICPT diluluskan yang lebih tinggi), kami menjangkakan pelabur memperoleh semula keyakinan terhadap pengumuman keputusan TNB selepas 1QFY23," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM12.20 sesaham daripada RM11.65 di samping kekal yakin dengan prospek TNB untuk 2023.
Saham TNB pada pukul 11:00 pagi hari ini menyusut 1 sen atau 0.1% kepada RM8.96 sesaham, memberikan permodalan pasaran berjumlah RM51.5 bilion. -DagangNews.com








