KUALA LUMPUR 8 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB), pembekal utama rumusan tenaga mampan Malaysia dan Chargeplus Sdn Bhd (Charge+), anak syarikat Charge+ Pte Ltd, penyedia rumusan pengecasan kenderaan elektrik (EV) bersepadu terkemuka di Singapura dan Asia Tenggara, mengumumkan inisiatif bersama untuk meneroka platform perayauan rentas sempadan.
Platform itu akan menghubungkan pelanggan ke stesen pengecasan EV di seluruh Malaysia dan Singapura dengan mudah, merevolusikan pengalaman pemanduan EV.
Komitmen terhadap kerjasama inovatif itu diperkukuh dengan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) semasa Persidangan Peralihan Tenaga 2023, yang diadakan Ogos lalu.
MoU itu membentuk asas bagi pembangunan rangkaian rentas sempadan yang lancar bagi infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik, sejajar dengan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Baharin Din menyifatkan kerjasama itu sebagai peluang yang luar biasa untuk meneroka kebolehlaksanaan teknikal dan komersial terhadap pengaturan perayauan antarabangsa.
Beliau berkata, kerjasama itu dicapai untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan ketara bagi kedua-dua pihak TNB dan Charge+ semasa mereka memulakan perjalanan merentas sempadan.
Katanya, dengan akses lancar ke stesen pengecasan, pemandu kenderaan elektrik akan dapat menikmati kemudahan dan ketenangan fikiran yang tidak dapat dikecapi sebelum ini.

"MoU ini adalah perintis kepada pakatan perayauan rentas sempadan di Malaysia dalam sektor pengecasan EV. Sebagai sebahagian daripada visi utama kami, kerjasama strategik ini akan disepadukan ke dalam rangkaian luas 30,000 stesen pengecasan menjelang 2030, merangkumi lebuh raya EV sepanjang 5,000 kilometer merentasi lima negara Asia Tenggara iaitu Singapura, Malaysia, Thailand, Kemboja dan Vietnam.
"TNB sedang mengorak langkah penting untuk meningkatkan kebolehcapaian stesen pengecasan kenderaan elektrik di dalam Malaysia dan di luar negara. Peluasan rangkaian TNB Electron ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan pengecasan tetapi juga mengukuhkan dedikasi TNB untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, pertukaran MoU disempurnakan oleh Pengarah Program (PMO Kenderaan Elektrik) TNB, Wan Ahmad Zam Zam Wan Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Charge+, Goh Chee Kiong.
Ia turut disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Ketua Pegawai Operasi TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan; Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Datuk Ahmad Hushairi Ibrahim dan Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman.
Mengenai kebimbangan terhadap kesesuaian kenderaan elektrik untuk perjalanan jauh dan rentas sempadan, Baharin menyatakan keyakinannya bahawa inisiatif perayauan antarabangsa itu akan memainkan peranan penting dalam menangani persepsi tersebut.
"Kemudahan yang lebih baik akan mengurangkan kebimbangan mengenai jarak jauh yang mungkin dialami oleh pemandu EV, sekali gus mendorong penggunaan EV yang lebih tinggi di Malaysia.
"Kerjasama TNB dan Charge+ juga akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon di Malaysia yang menyokong matlamat negara mencapai Sifar Bersih 2050 serta sejajar dengan objektif NETR," katanya.
Selain itu, Baharin menekankan bahawa kerjasama strategik itu akan membolehkan pengguna aplikasi mudah alih stesen pengecas TNB Electron (GO TO-U) dan Charge+ mengakses aset pengecasan EV kedua-dua syarikat dengan mudah, memberikan pengalaman pengecasan rentas sempadan yang lebih baik untuk pelanggan TNB Electron dan Charge+. - DagangNews.com








