KUALA LUMPUR 2 Jun - Telekom Research & Development Sdn Bhd (TM R&D) baru-baru ini menggondol dua anugerah di Malaysia Technology Excellence Awards 2022, yang dianjurkan oleh Singapore Business Review.
Malaysia Technology Excellence Awards memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat terbaik yang mempelopori inovasi industri menerusi teknologi untuk memacu ekonomi Malaysia.
Penyelesaian Fast Internet For All (FIRA) daripada TM telah diumumkan sebagai pemenang anugerah kategori “Connectivity-Telecommunications”, sementara Single Platform on Intelligent Customer Experience (SPICE.ai) telah memenangi anugerah dalam kategori “Artificial Intelligence (AI)-IT Services”.
Ketua Pegawai Eksekutif TM R&D, Dr Sharlene Thiagarajah berkata, beliau amat berbangga dengan pasukannya kerana anugerah itu adalah bukti komitmen mereka untuk memenuhi keperluan digital pelanggan hari ini yang pantas berubah, selain turut mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju penyelidikan dalam bidang tersebut.
"Pengiktirafan ini juga mengukuhkan usaha kami dalam membina ekosistem digital yang lebih pintar untuk memudahkan rakyat Malaysia menerima gaya hidup lebih digital, serta membawa negara maju ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr Sharlene berkata, FIRA direka untuk menangani dua isu yang sering dihadapi, antaranya liputan dan kelajuan. Penyelesaian itu mampu memberikan sambungan sehingga 50Mbps dalam jarak 5 hingga 8 kilometer (km) berbanding sel 4G biasa dalam jarak 1 km.
"Tambahan pula, dengan prosedur pelaksanaannya yang pantas dan mudah, FIRA boleh membantu mengurangkan kebimbangan pelanggan mengenai kesalinghubungan secara kos efektif dan tepat pada masanya,” katanya.
FIRA telah diperkenalkan sebagai satu cara untuk menyokong kerajaan dalam menyediakan rakyat Malaysia dengan akses berkualiti kepada kesalinghubungan digital di seluruh negara.


Dibangunkan dengan tujuan untuk menawarkan perkhidmatan internet yang lebih baik kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, FIRA menggunakan teknologi Akses Tanpa Wayar Tetap (FWA) untuk meningkatkan kesalinghubungan di kawasan luar bandar di seluruh Malaysia.
Sejak mula dilaksanakan di Melaka pada Julai 2020, penyelesaian itu telah menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan dalam meningkatkan kelajuan pautan muat turun dan muat naik berbanding perkhidmatan jalur lebar yang lain.

Penyelesaian itu telah dilaksanakan di sebuah sekolah luar bandar di Selangor dan di Pusat-Pusat Komuniti Desa di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Ia turut menyokong kes gunaan IR4.0 di Terengganu.
Sementara itu, SPICE.ai bertujuan untuk membantu petugas barisan hadapan dalam tugas harian mereka menangani pertanyaan dan permintaan perkhidmatan pelanggan. - DagangNews.com








