TM giat berunding harga borong Internet dengan penyedia perkhidmatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM giat berunding harga borong Internet dengan penyedia perkhidmatan

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Telekom Malaysia Bhd (TM) sedang giat berunding dengan penyedia perkhidmatan Internet untuk mencapai persetujuan susulan pelancaran tawaran akses rujukan (RAO) baharunya yang berkaitan dengan harga borong rangkaian jalur lebar berkelajuan tingginya (HSBB).

 

Menurut TM, penggunaan standard mandatori mengenai harga capaian (MSAP) bagi kadar borong, dijangka bermula September ini, akan menggalakkan penyedia perkhidmatan menawarkan pakej Internet yang lebih baik.

 

“Berikutan pengumuman TM untuk menambah baik kadar jalur lebar borong RAO pada 28 Julai, kami telah berunding dengan penyedia perkhidmatan untuk mencapai persetujuan yang memenuhi keperluan mereka.

 

“Memandangkan penambahbaikan positif pada kadar borong baharu, kami berharap ini akan menggalakkan mereka untuk menawarkan pakej Internet yang lebih baik dalam pasaran, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil,” kata syarikat telekomunikasi itu kepada Bernama.

 

TM berkata perjanjian dengan penyedia perkhidmatan Internet dan pihak lain yang ingin melanggan RAO TM untuk harga borong seterusnya akan memberi manfaat kepada pengguna akhir runcit mereka.

 

“Buat masa ini, butiran mengenai tawaran itu masih terlalu awal untuk kami dedahkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat," tambahnya.

 

Pada Isnin (31 Julai), Fahmi berkata harga Internet dijangka lebih murah selepas pelaksanaan MSAP, yang akan membawa kepada pengurangan harga borong Internet dan pakej lebih murah.

 

Beliau juga menyatakan bahawa dasar baharu ‘di mana ada jalan, di situ akan ada Internet’ akan diperkenalkan agar memastikan orang ramai mendapat akses Internet yang lebih luas.

 

Pada 11 Julai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), badan kawal selia yang mengeluarkan MSAP berkata. pemotongan harga runcit bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berdasarkan MSAP hanya boleh dilaksanakan selepas perjanjian capaian ditandatangani dalam kalangan penyedia perkhidmatan. - DagangNews.com