Tiga tren baharu tingkatkan kekerapan LRT Laluan Kelana Jaya - Prasarana | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga tren baharu tingkatkan kekerapan LRT Laluan Kelana Jaya - Prasarana

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Sept - Selaras dengan usaha penambahbaikan berterusan yang dilakukan Prasarana Malaysia Bhd dan anak syarikatnya, Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan rel utama di Lembah Klang, sebanyak tiga buah tren baharu memulakan pengoperasian di LRT Laluan Kelana Jaya. 

 

Prasarana memaklumkan, pengoperasian tren-tren baharu tersebut akan terus menambahbaik kekerapan tren di laluan tersebut. 

 

Katanya, pihak Rapid Rail menyasarkan kekerapan tren setiap 3 minit akan dapat dicapai menjelang penghujung Oktober 2023.

 

"Tiga buah tren tersebut merupakan sebahagian daripada perolehan 27 buah tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek KLAV27 (Kuala Lumpur Additional Vehicle) yang bernilai RM1.72 bilion. 

 

"Di bawah projek tersebut, Prasarana dan Rapid Rail memperoleh 27 buah tren baharu, dengan kumpulan tren pertama telah diterima secara berperingkat bermula September 2020.

 

"Sebanyak 11 buah tren telah diterima setakat ini. Kekerapan perkhidmatan laluan tersebut pada ketika ini telah ditambahbaik menjadi kurang daripada 4 minit pada waktu puncak. Baki 16 set tren akan diterima secara berperingkat dari September 2023 sehingga Disember 2024," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, dengan penambahan tiga set tren baharu tersebut dan juga perlaksanaan inisiatif-inisiatif penyelenggaraan Rapid Rail ke atas komponen-komponen kritikal, LRT Laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan purata sebanyak 44 buah tren pada waktu puncak, berbanding 38 buah tren sebelum ini. 

 

 

prasarana
(Dari kiri), Ketua Pegawai Operasi (Strategik dan Pembangunan) Prasarana, Dr Prodyutt Dutt; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah; Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bergambar bersama set tren KLAV baharu.

 

 

Katanya, LRT Laluan Kelana Jaya, yang menyambut ulang tahunnya yang ke-25 pada bulan ini, telah memulakan operasi pada 1 September 1998. 

 

"Ia merupakan laluan paling sibuk di antara jajaran-jajaran rel di bawah kendalian Rapid Rail, dengan purata 250,000 penumpang sehari. 

 

"Laluan tersebut melalui kawasan-kawasan berkepadatan tinggi di sekitar Lembah Klang termasuk segitiga emas Kuala Lumpur," katanya.

 

Tambahnya, pihak Rapid Rail akan memastikan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bagi LRT Laluan Kelana Jaya serta laluan-laluan lain di bawah kendaliannya akan dilaksanakan secara berterusan. - DagangNews.com