Tidak perlu lesen Finas untuk rakam video, kata Saifuddin | DagangNews Skip to main content

Tidak perlu lesen Finas untuk rakam video, kata Saifuddin

KUALA LUMPUR 24 Julai – Rakyat Malaysia bebas untuk merakam video atau mana-mana paltform media sosial tanpa perlu mendapatkan lesen daripada Finas, kata Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kementerian itu akan berpegang kepada prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di laman-laman media sosial.

``Pengguna media sosial adalah bebas untuk menggunakan platform sedia ada seperti TikTok, YouTube dan sebagainya, termasuk menerbitkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau risau dikenakan tindakan oleh Finas,’’ kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, kementerian akan meminda Akta Finas 1981, untuk mengambil kira situasi semasa.

"Seperti yang saya umumkan pada 20 Jun lalu, kementerian telah memulakan usaha meminda akta di bawah selian kementerian bagi menyesuaikan dengan situasi semasa,’’ kata beliau.

Pengumuman Saifuddin itu adalah susulan kenyataannya di Dewan Rakyat semalam bahawa semua penerbit filem dikehendaki memohon Lesen Penerbitan Filen dan Sijil Pengesahan Penggambaran (SPP) sebelum melakukan penggambaran apa saja kandungan untuk platform dalam talian atau saluran tradisional.

Beliau berkata, keperluan itu merangkumi juga penerbit filem baik agensi media arus perdana mahupun media persendirian dan fi yang ditetapkan ialah RM50,000.

Ia mengundang bantahan banyak pihak yang menganggap kenyataan beliau di Dewan Rakyat semalam bertentangan dengan trend dunia hari ini. – DagangNews.com