Thong Guang terus beri tumpuan produk pembungkusan plastik premium bagi pasaran Eropah, AS - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Thong Guang terus beri tumpuan produk pembungkusan plastik premium bagi pasaran Eropah, AS - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Thong Guan Industries Bhd akan terus memberi tumpuan kepada pasaran Eropah an Amerika Syarikat (AS) untuk produk pembungkusan plastik premiumnya bagi meraih margin yang lebih baik.

 

Kenanga Research berkata, Eropah dan AS menerupakan pasaran global utama untuk produk pembungkusan plastik yang ketika ini masih belum diterokai pemain industri dari Malaysia.

 

"Kami percaya kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk menguasai bahagian pasaran melalui filem regangan nano yang inovatif hasil daripada penyertaan aktif mereka dalam pameran perdagangan.

 

"Thong Guan juga sedang dalam proses mengembangkan pusat penyelidikan an pembangunan (R&D) Newton dan pengenalan trak ujian mudah alih dengan keupayaan ujian kestabilan beban lanjutan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, hasil 1QFY24 kumpulan itu meningkat 10% didorong oleh bahagian pembungkusan plastik (8%) dan unit makanan dan minuman (25%) yang menawarkan produk minuman teh, kopi dan mi.

 

Pertumbuhan dalam bahagian pembungkusan plastik didorong oleh peningkatan jumlah jualan filem regangan, beg industri dan beg sampah.

 

Sementara itu, hasil daripada bahagian F&B melonjak disebabkan peralihan dalam keutamaan pengguna terhadap produk tempatan dan kenaikan harga jualan produk teh dan kopinya. 

 

Sejajar dengan itu, keuntungan bersih terasnya meningkat sebanyak 10%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu baru-baru ini menjalin kerjasama dengan Perbandaran Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) bagi membangunkan 221 unit lot kedai dan pejabat di atas tanah seluas lapan hektar di Sungai Petani.

 

Katanya, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM200 juta, kerjasama itu menandakan kejayaan besar pertamanya dalam pembangunan hartanah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.86 sesaham," katanya.  - DagangNews.com