KUALA LUMPUR 31 Julai - Theta Edge Bhd melantik Wepay System Sdn Bhd dan rakan kongsi teknologi antarabangsanya sebagai rakan kongsi teknologi kumpulan untuk membangunkan platform digital bersepadu dan pelbagai fungsi sepenuhnya di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta, Nuraslina Zainal Abidin berkata, kerjasama itu membolehkan usaha sama antara pihak-pihak dalam mempromosikan inovasi industri dengan menggunakan sumber setiap syarikat untuk memacu pendigitalan bagi pelbagai segmen industri di Malaysia.
Katanya, kesediaan platform teknologi juga akan membolehkan Theta bekerjasama dan berhubung denganpelbagai aplikasi bagi membolehkan pengguna mempunyai pusat sehenti untuk semua keperluan mereka.
"Fokus terdekat Theta adalah untuk mengubah mobiliti menjadi pengalaman yang menyenangkan melalui platform digital 'Mobility-as-a-Service (MaaS)'.
"Pada asasnya ia akan menyediakan maklumat masa nyata bagi membolehkan pengembara memantau, merancang, menempah dan membayar untuk pelbagai perkhidmatan mobiliti melalui sistem pembayaran terbuka, yang membolehkan perjalanan berjalan lancar dan membolehkan pengembara mengakses dan menyambung daripada satu platform ke semua pilihan pengangkutan.
"Platform digital MaaS juga akan menggabungkan aplikasi e-dagang dan e-kewangan untuk menghubungkan pengembara dan pengguna kepada perkhidmatan lain", katanya dalam kenyataan media di sini.
Nuraslina berkata, pihaknya memperoleh komitmen WePay untuk melabur dalam projek itu melalui Haitong International Securities Company Limited, Penyelaras Global Utama WePay dan Peneraju Bersama Bookrunner bagi mengumpul RM700 juta atau setara melalui pelaburan langsung asing (FDI).
Katanya, ia bagi membiayai projek kira-kira RM400 juta yang akan diperuntukkan untuk membiayai segmen pembangunan dan pelaksanaan platform digital MaaS.
"Selain itu kira-kira RM300 juta akan diperuntukkan untuk membiayai peningkatan infrastruktur mobiliti dalam menambah baik infrastruktur fizikal dan bukan fizikal bagi menyokong mobiliti.
"Ia terutamanya dalam menyediakan sambungan jarak jauh dan membuat mobiliti dari titik permulaan ke titik destinasi menjadi jauh lebih cekap bagi keselesaan pengguna," katanya.
Tambahnya, ia menandakan permulaan Theta dalam merangkul matlamat perniagaan yang dipacu berdasarkan alam sekitar dan kemampanan.
"Saya yakin kerjasama platform digital akan membolehkan kami mengatasi cabaran dalam mencapai objektif kami," katanya. - DagangNews.com








