Theta Edge Berhad sumbang 30 komputer untuk pusat komuniti di Ipoh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Theta Edge Berhad sumbang 30 komputer untuk pusat komuniti di Ipoh

Superintendan Azhar Hashim melihat komputer yang disumbangkan bagi kegunaan komuniti di Kem Batalion 3 PGA Senoi Praaq di Bidor.
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 24 Julai - Sebanyak 30 unit komputer telah disumbangkan Theta Edge Berhad (Theta Edge) bagi kegunaan enam pusat komuniti seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada satu majlis di sini, baru-baru ini.

 

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan untuk menyediakan kemudahan teknologi kepada golongan sasaran.

 

Theta Edge adalah syarikat bersekutu Lembaga Tabung Haji (TH) dan telah beroperasi lebih 30 tahun dalam perniagaan berkaitan sistem integrasi dan teknologi maklumat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Theta Edge, Nuraina Zainal Abidin berkata, sumbangan perkakas tersebut dapat dimanfaatkan pelajar dan golongan muda khususnya daripada kelompok B40 seiring dengan perubahan pendigitalan.

 

Menurut beliau, inisiatif itu merangkumi pemasangan perisian Microsoft Windows 10, LibreOffice, webcam serta penyediaan Wi-Fi adapter di setiap pusat komuniti.

 

"Sehingga kini di Perak kita sudah serahkan 157 komputer, 100 melalui kerjasama dengan TH negeri Perak dan disumbangkan kepada 39 buah sekolah.

 

"Inisiatif ini turut mendokong usaha kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12  bagi penyediaan akses dan peluang pendidikan, ekonomi dan pembangunan modal insan," ujarnya.

 

 

theta edge
Nuraina Zainal Abidin (dua dari kiri) bersama Rumaizi (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan komputer kepada salah seorang Ahli Majlis MBI bagi kegunaan pusat komuniti seliaan MBI di Ipoh.

 

 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di Dewan Azlan Shah MBI.

 

Hadir sama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin; Pengarah TH negeri Perak, Mohamad Abas dan Ahli-Ahli Majlis MBI.

 

Terdahulu, pada hari sama juga, Theta Edge telah menyumbang enam unit komputer pada Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq di Bidor dan enam lagi di Perpustakaan Desa Briged Utara PGA, Ipoh.

 

 

theta edge
Nuraina Zainal Abidin

 

 

Progam #thetaCares dilancarkan pada Mac lalu dan telah diperkenan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

 

Sejak dilancarkan, sebanyak 305 komputer dan 102 komputer riba telah disumbangkan kepada beberapa negeri seperti Selangor, Pahang, Melaka dan Perak.

 

Pada awal Julai lalu, Theta Edge telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan TH negeri Perak bagi menyumbang 100 unit komputer untuk 39 buah sekolah terpilih di Taiping, Kuala Kangsar dan beberapa kawasan lain di serata Perak.

 

 

theta edge

 

 

Sementara itu kata Rumaizi, sumbangan komputer itu dapat merapatkan jurang digital dalam kalangan warga kota.

 

Selain itu katanya, kesemua pusat komuniti tersebut juga akan disediakan kemudahan Wi-Fi percuma di bawah seliaan MBI. - DagangNews.com